Muzik diangkat sebagai bahasa sejagat yang dapat menyatupadukan manusia kerana sifatnya yang universal dan pelbagai. Tak mustahil anda boleh menghayati lagu Bollywood atau K-pop dengan penuh perasaan sambil tersenyum gembira walaupun tidak memahami maksud di sebalik lagu itu. Muzik juga bukan sekadar hiburan dan sajian untuk telinga semata-mata. Sebenarnya, ia mampu mewujudkan tindak balas dan emosi yang positif. Tapi, bagaimana ya?
Muzik adalah terapi
Tahukah anda? Muzik dapat memperbaiki tahap kesihatan seseorang. Ia dipercayai boleh mempengaruhi emosi dengan meningkatkan neurokimia dalam badan termasuk endorfin baik yang boleh menjadikan anda lebih kreatif dan mampu mengekspresi diri dengan lebih baik.
Dalam konteks tamadun Islam pula, Ibnu Sina ada mengatakan bahawa salah satu daripada kaedah paling efektif dalam merawat penyakit adalah dengan memperdengarkan muzik kepada pesakit. Pada zaman ini juga, terdapat golongan profesional yang sudah menggunakan mekanisme terapi muzik untuk membantu memulihkan seseorang yang menghidap penyakit seperti Parkinson, strok, gangguan mental dan banyak lagi.
6 Kaedah membuktikan muzik adalah terapi
1. Meningkatkan kemahiran motor dan pemahaman secara signifikan
Muzik sangat penting untuk meningkatkan fungsi otak dan kemahiran visual serta verbal – terutamanya kanak-kanak yang melalui proses pembelajaran. Sebab itulah, kanak-kanak disarankan untuk belajar dan bermain alat muzik seperti piano atau gitar pada usia muda untuk perkembangan otak dan minda yang cerdas.
2. Memperbaiki tahap kesihatan pesakit
Kajian yang dilakukan penyelidik di Helsinki Brain Research Centre menunjukkan pesakit strok yang mendengar muzik beberapa jam sehari mempunyai memori lisan yang lebih baik dan lebih fokus berbanding pesakit yang tidak mendengar muzik. Antara genre muzik yang didengari adalah pop, klasik dan jazz. Berdasarkan kajian mereka juga, pesakit strok yang mendengar muzik dapat memperbaiki memori lisan mereka sebanyak 60%.
3. Meningkatkan kekuatan imuniti
Menurut kajian pakar psikologi di Universiti McGill di Montreal, beliau mendapati bahawa muzik mampu mengurangkan penghasilan hormon stres iaitu kortisol. Ia turut menjadikan pendengarnya lebih tenang dan relaks. Ketahuilah bahawa stres mampu melemahkan sistem imuniti badan. Jadi, dengarlah muzik untuk mengatasi stres dan menguatkan tubuh badan agar tidak mudah jatuh sakit.
4. Memperbaiki kemurungan
Berdasarkan artikel dari British Journal of Psychiatry dan American Physiological Association, terapi muzik seperti bermain alat muzik adalah antara kaedah untuk merawat kemurungan. Ini kerana ia dapat memperbaiki kadar denyutan, pernafasan, tekanan darah dan turut memperbaiki koordinasi tubuh badan. Jika badan sihat dan terurus, anda dapat menangani masalah kemurungan dengan baik serta mampu melihat diri dari sudut yang berbeza dan positif.
5. Mengurangkan keletihan
Pada tahun 2015, para penyelidik di Universiti Shanghai mendapati bahawa muzik yang lebih santai dapat membantu mengurangkan keletihan dan mengekalkan daya tahan otot seseorang yang melakukan pergerakan anggota badan secara berulang.
6. Meningkatkan prestasi senaman
Bersenam sambil mendengar muzik juga dapat meningkatkan prestasi fizikal. Ia memperbaiki emosi dan membolehkan badan anda bersenam dengan lebih efektif. Mengikut teori ‘Parallel of Processing’, mendengar muzik mampu merangsang otot supaya melakukan senaman dengan lebih lama dan berkesan. Cubalah bersenam sepanjang musim pandemik ini sambil mendengar lagu kegemaran anda di untuk meningkatkan prestasi dan kualiti senaman anda.
Alang-alang mendengar muzik, apa kata anda gabungkan dengan senaman seperti aerobik atau zumba? Kedua-dua senaman ini memerlukan pergerakan dan kiraan langkah yang banyak. Jadi, ia sesuai jika dilakukan bersama program Weekly Challenge AIA Vitality!
Akhir sekali, semua orang mendengar muzik dan menyukai alunannya tak kiralah ia diperdengarkan secara langsung atau sebaliknya. Oleh itu, dengarlah muzik pilihan anda setiap kali ingin memotivasikan diri. Jadikan muzik sebahagian daripada terapi minda dan diri anda untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera!
Rujukan:
https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/pengurusan-stress/manfaat-terapi-muzik-yang-mungkin-anda...
https://www.timeout.com/london/music/the-best-inspirational-songs
https://www.sciencedaily.com/releases/2008/02/080219203554.htm
https://journal.unisza.edu.my/apj/index.php/apj/article/download/38/40/
http://www.kk.usm.my/index.php/en/doktor-usm-di-radio/95-doktor-usm-di- radio/1152-gabungan-muzik...
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/10/485912/terapi-muzik-mampu-rawat-gelodak-jiwa
https://www.hopkinsmedicine.org/health/wellness-and-prevention/keep-your-brain-young-with-music
https://buffer.com/resources/music-and-the-brain/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5618809/
https://www.healthline.com/health/benefits-of-music#cognitive-benefits
Artikel berkaitan