Bau bukan sahaja mempunyai kaitan biologi dan psikologi, ia juga merupakan fenomena sosial dan budaya. Selain mewujudkan hubungan emosi yang memberi kenangan, ia juga membangkitkan rasa lapar, memberikan ketenangan dan pelbagai emosi lain. Bau seperti buah-buahan, pudina, manis dan sebaliknya ini mempunyai karakter tersendiri dan setiap satunya mempunyai fungsi yang berbeza. Berikut adalah contoh bau-bauan yang mampu meningkatkan keceriaan hari anda.
Lavender
Bau lavender mampu berinteraksi dengan otak dan aktiviti pada sistem saraf, mengurangkan kegelisahan, kemarahan, keagresifan serta keresahan seseorang. Bau lavender yang menenangkan dapat membantu mengawal tekanan emosi dan memberi kesan mendamaikan yang dapat melegakan ketegangan saraf serta merawat sakit kepala atau migrain. Menurut sejarah kebudayaan Parsi, Yunani lama dan Rom pula, mereka percaya lavender membantu menyucikan tubuh dan minda.
Pudina
Berasal dari Eropah, pudina kini mulai ditanam hampir di seluruh dunia. Tumbuhan asli Eropah dan Asia ini juga telah digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu kerana bau dan rasanya yang memberikan sensasi sejuk dan berangin. Walaupun pudina digemari kerana rasanya, ia juga mempunyai beberapa manfaat kesihatan. Harumannya membantu melegakan sakit kepala, sakit otot, sinus yang tersumbat, menyokong pencernaan yang sihat dan merawat kulit bermasalah. Ia juga berfungsi menambahkan tenaga, menyegarkan minda, meningkatkan daya tumpuan dan pemikiran yang lebih jelas.
Kayu manis
Terkenal kerana baunya yang wangi, haruman dengan elemen berunsur pedas dan manis ini pasti mengingatkan anda kepada detik penuh menyelerakan dan makanan yang melazatkan. Ia juga dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan dan kecantikan. Bau rempah ini dikaji keberkesanannya terhadap kawalan jangkitan, pengurusan gula dalam darah dan macam-macam lagi. Kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Malaysia mendapati bahawa kayu manis mengandungi sifat antibakteria, antikulat, antidiabetes dan antioksidan. Ini adalah pilihan popular untuk rutin aromaterapi dan menurut kajian lain oleh Northeastern University di Amerika Syarikat, haruman kayu manis mempunyai kaitan untuk meningkatkan motivasi, prestasi dan kewaspadaan.
Sitrus
Sekiranya anda inginkan sesuatu yang dapat menaikkan tenaga atau semangat anda, anda boleh ketepikan sebentar secawan kopi dan memilih haruman sitrus. Bau buah-buahan sitrus seperti lemon atau limau gedang dapat merangsang pengeluaran serotonin iaitu hormon gembira. Ia juga mengurangkan tekanan dengan membuatkan anda tenang walaupun dalam keadaan berjaga. Hakikatnya, pada masa kini banyak produk pembersih menggunakan haruman lemon dan limau yang secara langsung mengaitkan bau sitrus dengan kerja pembersihan. Sekiranya anda demam atau mengalami sakit tekak, haruman lemon dapat membantu melegakan hidung dan meredakan sakit tekak.
Jasmin (Melur)
Berasal dari pokok bunga melur, haruman ini telah dikenali sejak berabad lamanya kerana baunya yang wangi dan penuh romantis. Malahan bau melur telah digunakan dalam beberapa minyak wangi terkenal dunia seperti Chanel No. 5 atau Gucci Bloom. Menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Biological Chemistry, bunga melur yang berasal dari Iran dan boleh dijumpai di negara beriklim tropika ini juga turut dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan. Antaranya membantu mengatasi kegelisahan dan kemurungan. Sama seperti lavender, bunga melur mempengaruhi neurotransmiter otak dan membantu menenangkan anda.
Terdapat beberapa kaedah popular yang boleh kita gunakan untuk memastikan lebih banyak bau-bauan hadir dalam kehidupan seharian antaranya melalui minyak pati (essential oils), peresap (diffuser) aroma atau rutin wangian. Tanpa deria bau, kita tidak dapat menimba pengalaman, meraih emosi dan menikmati keindahan hidup.
Rujukan
https://www.huffpost.com/entry/scents-and-wellbeing_n_5193609
https://www.nbcnews.com/health/body-odd/smells-nostalgia-why-do-scents-bring-back-memories-f895521
https://www.entrepreneur.com/article/224575
https://pdfs.semanticscholar.org/a771/038157f4117c58c5af02110ff3f784e39c00.pdf
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3612440/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16884344
https://nccih.nih.gov/health/peppermintoil
https://www.medicalnewstoday.com/articles/265214#possible-health-benefits
https://www.healthline.com/health/cinnamon-oil#benefits
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4003790/
https://www.medicalnewstoday.com/articles/266069#benefits
https://www.sciencefocus.com/science/why-do-we-associate-citrus-smells-with-being-clean/
https://www.sleep.org/articles/scents-to-wake-you-up/
https://www.healthline.com/health/lemon-essential-oil#reduce-anxiety-and-depression
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16780969
https://www.upworthy.com/jasmine-for-relaxation
https://www.researchgate.net/publication/236235613_The_effects_of_jasmine_Oil_inhalation_on_brain...
https://www.telegraph.co.uk/news/science/7881819/Smell-of-jasmine-as-calming-as-valium.html
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15976995
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan