Jika anda peminat K-Pop, pasti anda mempunyai sekurang-kurangnya seorang Korean idol dan pastinya suka menonton muzik video kegemaran mereka berulang kali sehingga boleh menghafal setiap gerak tari dan mengikuti lirik lagu walaupun dalam bahasa Korea. Alangkah bagusnya kalau keseronokan itu ditambah baik dan menjadikannya sesuatu yang bermanfaat. Seperti yang dilakukan seorang peminat K-Pop, saudara Shahrizuan Hamzan. Beliau berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 40kg setelah bersenam dengan hanya mengikut rentak lagu K-Pop bertajuk “Fine” nyanyian Taeyeon. Di samping itu, beliau turut mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat yang konsisten. Daebak!
Sihat menari macam K-pop idol
Pilihan muzik yang menghiburkan membuatkan anda lebih teruja melakukan pergerakan mengikut tempo muzik tanpa rasa penat atau sukar. Kebanyakan penghibur K-Pop sentiasa berjaya mempamerkan koreografi atau gerak tari yang mengagumkan dengan stamina yang tinggi untuk pergerakan berterusan dan konsisten – dari pinggul, paha, kepala dan ke bahu.
Pernahkah anda mengikuti tarian Korean Idol seperti di dalam muzik video mereka dan akhirnya anda tercungap-cungap dan berpeluh habis? Itu bermakna anda harus memperbaiki stamina diri. Koreografi K-Pop boleh menjadi bentuk senaman kardio yang menyeronokkan dan menyihatkan jika dilakukan dengan betul. Apa tunggu lagi? Jom bersenam ala penghibur K-pop. Hana, dul, set, net!
HANA!
Pilih koreografi tarian K-Pop yang sesuai
Koreografi yang sesuai sebagai permulaan biasanya memerlukan gerakan tarian berulang. Dari segi gaya, komposisi tarian yang comel sangat mudah diikuti. Manakala komposisi agresif pula memerlukan lebih banyak kawalan dan kepantasan.
Contoh-contoh tarian K-Pop yang popular pada tahun 2021:
- Comel: Momoland “Ready or Not”
https://www.youtube.com/watch?v=SnSIyrxyW1g - Swag: BTS “Dynamite”
https://www.youtube.com/watch?v=CN4fffh7gmk - Cool: NCT U “90’s Love”
https://www.youtube.com/watch?v=295e_JPor54
DUL!
Sumber video tarian yang baik untuk diikuti di YouTube atau rujuk tutorial tarian
Video tarian bercermin yang baik menunjukkan pergerakan seluruh badan ketika menari sepanjang lagu dimainkan. Anda juga boleh merujuk tutorial dan jadikannya panduan apabila anda menghadapi kesukaran dalam melakukan sesuatu gerak tari.
SET!
Tetapkan matlamat kecil dan bahagikan koreografi mengikut segmen
Pastikan anda mengasingkan pergerakan tarian mengikut rangkap, korus, perangkai dan sebagainya. Ia memudahkan anda menguasai setiap segmen dan menguruskan masa latihan dengan lebih baik.
NET!
Rekod dan kaji semula pergerakan tarian
Ketahui perkembangan gerak tari anda dari semasa ke semasa dengan merekod setiap sesi latihan. Pastikan rakaman anda menampakkan keseluruhan anggota badan untuk memudahkan anda mengkaji semula kelebihan dan kekurangan dalam pergerakan yang dibuat. Jika perlu, gunakan rakaman yang lebih stabil dan jelas.
Minat bukan sebarang minat!
Minat boleh memberi manfaat jika dipraktikkan dengan betul. Minat terhadap genre K-Pop dan menari mengikut rentak Korean Idol pujaan mampu menukar gaya hidup anda jadi sihat. Dalam masa sama, anda juga boleh tampil ramping seperti Lisa BLACKPINK atau berbadan sasa seperti Jungkook BTS! Berikut adalah 6 manfaat yang anda boleh perolehi daripada aktiviti senaman dan tarian K-Pop:
- Meningkatkan kesihatan kardiovaskular
- Meningkatkan keseimbangan dan kekuatan badan
- Pengurusan berat badan yang ideal
- Meningkatkan prestasi kognitif anda
- Latihan menguji minda
- Latihan meningkatkan emosi
Kesimpulannya, jadikanlah sesuatu yang anda minati itu sesuatu yang bermanfaat. Amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti senaman dan menari mengikut muzik kegemaran K-Pop kerana ia adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Cubalah hari ini!
Rujukan
https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/dance-health-benefits#:~:text=Health...
https://www.healthline.com/health/fitness-exercise/benefits-of-dance#benefits
http://journalarticle.ukm.my/3258/1/V27_2_11.pdf
https://www.sinarharian.com.my/article/28361/BERITA/Viral/Lagu-K-Pop-boleh-turunkan-berat-badan
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan