Mungkin anda pernah dengar pelbagai kisah pelaburan kewangan daripada keluarga atau rakan-rakan. Ada kaedah pelaburan yang membuahkan hasil, namun ada juga yang merugikan. Jadi, apa maksud pelaburan sebenarnya? Pelaburan adalah satu aktiviti yang dijalankan apabila anda ingin meningkatkan dan mengembangkan potensi wang yang dimiliki.
"Pelaburan adalah satu aktiviti yang dijalankan apabila anda ingin meningkatkan potensi dan mengembangkan wang yang anda miliki."
Apabila anda mendapat keuntungan daripada pelaburan, pelbagai matlamat kewangan utama boleh dipenuhi seperti dana pendidikan anak-anak ke universiti mahupun sebagai dana perubatan anda dan orang tersayang. Anda juga boleh membeli rumah baharu, melancong, dan yang penting sekali, ia boleh menjadi simpanan untuk hari tua kelak!
Cara melabur dengan bijak
1. Mula dari awal
Usia muda bukan penghalang. Jika ingin melabur awal, anda boleh memperuntukkan sejumlah wang bermula dengan amaun yang kecil. Tanpa disedari, ia boleh dijadikan modal permulaan untuk melabur. Adalah lebih mudah untuk anda menceburi dunia pelaburan di usia muda kerana komitmen kewangan masih minima.
2. Buat pelaburan secara konsisten
Kekerapan melakukan sesuatu akan membuahkan hasil, dan ini berkait rapat dengan cara anda membuat pelaburan. Melabur bukan setakat melepaskan batuk di tangga ye! Pelaburan secara konsisten merupakan satu langkah yang amat berkesan untuk meraih pulangan yang menguntungkan. Hasilnya, nilai bersih pelaburan anda akan meningkat secara berterusan dari semasa ke semasa.
3. Belajar dan terus belajar
Didik diri sendiri untuk sentiasa mempelajari selok belok dunia pelaburan dan jangan segan untuk bertanya dengan seseorang yang lebih mahir dalam bidang tersebut. Belajar dari pengalaman atau kesilapan orang lain akan menjadikan anda lebih bersedia membuat keputusan bijak dalam pelaburan.
4. Sabar…jangan tak sabar!
Seorang pelabur yang bijak akan memahami bahawa masa memainkan peranan penting dalam pelaburan kerana ia akan memberi anda lebih kawalan ke atas pelaburan anda dan boleh memaksimumkan pulangan anda. Ini kerana, membuat pelaburan awal akan memberikan masa yang cukup buat anda untuk mencapai matlamat pelaburan yang diinginkan.
5. Bila dah buat pelaburan, jangan biarkan begitu sahaja!
Pastikan anda sentiasa memantau setiap pelaburan yang dilakukan. Kekerapan membuat pantauan ini juga bergantung kepada risiko pelaburan yang dibuat. Oleh itu, anda mungkin perlu memantau setiap bulan, setiap 3 bulan, setiap 6 bulan, atau pun setiap tahun. Pemantauan adalah penting kerana kadangkala agak rumit untuk meramalkan turun naik pasaran.
"Ini kerana, membuat pelaburan awal akan memberikan masa yang cukup buat anda untuk mencapai matlamat pelaburan yang diinginkan."
Tips sebelum mula melabur
1. Semak Keadaan Kewangan
Buat analisa tepat mengenai bajet anda bagi memudahkan anda untuk menentukan jumlah yang harus diasingkan untuk pelaburan.
2. Tetapkan Matlamat Kewangan
Ini adalah langkah penting supaya anda tahu sebab anda ingin membuat pelaburan tersebut serta dapat menggunakan strategi yang betul.
3. Tentukan Jenis Pelaburan
Persoalan seterusnya pula adalah apa yang anda ingin laburkan? Ada beberapa jenis aset pelaburan, di antaranya, wang tunai, harta (pendapatan yang diperolehi daripada sewa), saham (dividen) dan lain-lain.
4. Tentukan Risiko
Adakah anda seorang yang berani untuk ambil risiko? Jika tidak, mungkin anda boleh mula membuat pelaburan pada skala yang lebih rendah terlebih dahulu.
5. Kemaskini Rekod Pelaburan
Simpan rekod pelaburan anda dengan teratur dan sentiasa pastikan ianya dikemas kini supaya semua maklumat berada di hujung jari anda. Jangan cepat panik apabila tidak mendapat sebarang hasil daripada pelaburan anda!
Untuk menjadi seorang pelabur yang bijak, anda boleh mengamalkan beberapa langkah di atas untuk membantu anda memaksimakan pulangan pelaburan.
Yang penting, matlamat dan strategi kewangan anda harus sejajar dengan komitmen serta gaya hidup anda. Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh AIA dapat membantu anda merancang pengurusan kewangan dengan lebih baik dan pada masa yang sama melindungi kekayaan anda.
Artikel berkaitan