Mencuba senaman baru boleh menjadi satu pengalaman yang kekok terutamanya jika anda langsung tidak tahu apa-apa tentang senaman itu. Namun untuk Arina, pengalaman pertamanya berzumba sangat mengujakan! Anda hanya perlu mengambil langkah pertama dalam tarian Zumba dan senaman itu pastinya akan menjadi lebih mudah. Arina Syazwani mula mencuba Zumba untuk kali pertama di kolej dan kini dia sememangnya gemar menari untuk kesihatan dan Zumba menjadi pilihan.
1. Inilah diriku
Arina berusia 28 tahun dan bekerja di sebuah agensi media sosial di Kuala Lumpur. Apabila disoal tentang tahap kesihatannya, dia berkata: “Sejujurnya saya sangat tidak konsisten dengan aktiviti kesihatan saya sehinggalah hari ini. Saya banyak bergerak semasa pergi dan balik dari kerja jadi bersenam itu agak memenatkan buat saya. Kadang-kala saya ada juga motivasi untuk bersenam - satu minggu saya boleh berlari dan menari setiap hari, dan minggu seterusnya saya boleh pula tidak berbuat apa-apa kecuali makan dan tidur!”
2. Belajar berzumba
“Pengalaman saya berzumba bermula pada tahun 2012. Sewaktu itu, Zumba masih baru di Malaysia. Ianya sangat popular - semua kawan-kawan saya berzumba! Saya selidik dahulu, rupanya anda boleh hilang berat badan dengan mudah bila mengamalkan Zumba. Saya cari video-video Zumba di atas talian dan mencubanya sendiri di rumah”.
3. Bosan jika dilakukan berseorangan, lebih baik lakukan bersama
Walaupun seronok mengikut video Zumba di rumah, Arina berasa bosan menari seorang diri di rumah. Terlintas di fikirannya untuk mencuba Zumba di pusat kesihatan, lalu Arina berkunjung ke sana bersama teman-temannya. Semestinya berzumba secara berkumpulan lebih menyeronokkan. “Memang seronok! Muzik dipasang kuat dan saya juga berpeluang bergaul dengan ramai orang yang mempunyai minat berzumba.”
4. Langkah pertama
Jika anda mencuba Zumba untuk kali pertama, Arina berkata: “Tiada apa yang perlu dirisaukan jika anda berzumba untuk julung kalinya. Langkah-langkah tarian adalah mudah seperti senamrobik. Jika anda lambat 10 minit, anda masih boleh menyertai kelas zumba!”
Menurut Arina, memang Zumba itu memenatkan. “Selepas bersenam, memang anda akan rasa penat. Tapi ia suatu kepenatan yang bagus, kerana anda tahu anda telah menggerakkan badan untuk bersenam! Anda juga akan merasa kelainan dalam diri anda - saya rasa ringan dan lebih efisyen di tempat kerja dan adrenalin membuatkan saya mahu bersenam keesokan harinya.”
5. Sejarah Zumba
Zumba yang bermula di Colombia pada 1990-an adalah hasil daripada acara yang tidak dijangka.
Pada waktu itu, jurulatih kesihatan popular Alberto Perez sedang mengendalikan kelas aerobik di sebuah pusat kesihatan. Beliau lupa membawa muzik aerobik yang sering dipasangnya semasa kelas.
Namun begitu, Perez tidak mahu membatalkan kelasnya jadi dia menggunakan muzik yang ada iaitu muzik Latin. Kelas itu menjadi kelas Zumba yang pertama! Rutin Zumba lazimnya mempunyai koreografi tarian hip-hop, samba, salsa dan digabung dengan rutin senaman seperti squats atau lunges dan diiringi muzik Latin yang rancak.
Zumba adalah senaman yang mudah bagi anda menggerakkan badan dalam persekitaran yang menyeronokkan. Jurulatih Zumba Kass Martin berkata: “Ia bukan program yang kompetitif. Ia bukan tentang gaya anda atau cara anda menari, tapi ia tentang bergerak aktif dan berseronok pada masa yang sama”.
Dewasa ini, anda boleh menyertai kelas Zumba di gimnasium, pusat kesihatan dan juga studio tarian. Anda juga boleh mencari kelas Zumba yang direka khas untuk kanak-kanak dan warga emas.
Rujukan
https://www.rodalewellness.com/fitness/why-you-should-give-in-to-the-zumba-craze
http://www.washingtonpost.com/wpdyn/content/article/2008/07/30/AR2008073001580.html
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.