Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi pada tahun 2011, Malaysia adalah negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia. Obesiti terjadi apabila pengambilan makanan melebihi penggunaan tenaga (aktiviti harian) dan tenaga yang berlebihan ini akan disimpan dalam badan dalam bentuk lemak. Lama-kelamaan, anda akan menghidapi obesiti atau kegemukan kerana kurangnya kesedaran tentang pemakanan dan penjagaan kesihatan diri yang betul.
Pastikan ia sahih
Pernahkah anda merancang untuk menurunkan berat badan dengan mencari maklumat di internet? Rata-rata kita bergantung kepada internet kerana ia medium paling mudah dan pantas untuk mengakses maklumat berkaitan pemakanan, penurunan berat badan, diet, senaman dan banyak lagi. Tetapi, tidak semua maklumat yang diperolehi itu tepat. Jika anda ingin menurunkan berat badan, mulakan dengan mengenal pasti mitos dan fakta – pastikan ia sahih untuk perjalanan penurunan berat badan yang efektif!
Mitos dan fakta
Ketahui mitos dan fakta agar anda dapat mencapai berat badan ideal dengan 6 cara yang betul!
- MITOS: Senaman berintensiti tinggi adalah cara terbaik untuk menurunkan berat badan.
Membakar kalori lebih daripada yang diambil dan memastikan pengambilan jumlah makanan yang betul membantu menurunkan berat badan dengan efektif. Ia juga harus seiring dengan amalan gaya hidup aktif. Anda boleh memulakan gaya hidup sihat baru dengan menyertai program AIA Vitality. Di samping itu, anda boleh mengumpul mata dan menebus ganjaran menarik melalui program tersebut.
- MITOS: Pengambilan karbohidrat meningkatkan berat badan.
Pilih jenis karbohidrat yang sesuai untuk anda. Ambil sumber karbohidrat kompleks seperti beras perang, roti gandum atau kentang bersama kulitnya untuk meningkatkan pengambilan serat dalam diet seharian. Elakkan makanan berkanji yang digoreng jika anda sedang berusaha untuk menurunkan berat badan.
- MITOS: ‘Melaparkan diri’ untuk menurunkan berat badan.
Tidak benar. Crash diet seperti ini membahayakan kesihatan kerana ia menyebabkan anda kehilangan nutrien penting, merendahkan metabolisma dan mengurangkan tenaga. Anda akan lebih cenderung untuk mengambil makanan berkalori dengan kandungan lemak dan gula yang tinggi. Badan yang menerima kalori berlebihan dari yang sepatutnya akan mengakibatkan kenaikan berat badan
- MITOS: Makanan berlabel 'rendah lemak' atau 'kurang lemak' adalah pilihan terbaik.
Jika makanan itu dilabel sebagai "rendah lemak" atau "kurang lemak", ia merujuk kepada perbandingan dengan versi asal makanan tersebut. Semak label dengan memeriksa kandungan lemak di dalamnya kerana ada sebahagiannya mengandungi kadar gula yang tinggi.
- MITOS: Berhenti mengambil jajan membantu menurunkan berat badan.
Mengambil jajan atau makanan ringan bukan penghalang untuk menurunkan berat badan, sebaliknya jenis jajan yang diambil. Gantikan jajan seperti coklat, kentang goreng dengan kandungan gula atau lemak tinggi dengan makanan seperti sayur-sayuran, madu, bijiran atau buah-buahan seperti kurma, anggur, jagung dan zaitun.
- MITOS: Minum air membantu menurunkan berat badan.
Air tidak membantu menurunkan berat badan, tetapi ia mengurangkan keinginan untuk mengambil jajan. Air juga memastikan badan anda kekal terhidrat. Ada kalanya, anda keliru di antara lapar dan dahaga. Dahaga membuatkan anda cenderung untuk mengambil jajan. Pastikan anda mengenal pasti situasi ini dengan bijak sebelum bertindak.
Kesimpulannya, anda tidak perlu mengubah gaya hidup secara menyeluruh atau menukar corak pemakanan secara drastik. Anda juga tidak perlulah bertindak melulu untuk menurunkan berat badan. Sebaliknya, gunakan pengetahuan yang diperolehi dengan betul. Diharapkan dengan penjelasan mengenai mitos dan fakta ini, ia dapat membantu anda menurunkan berat badan dengan efektif untuk kehidupan yang lebih sejahtera!
Rujukan
https://www.nhs.uk/live-well/healthy-weight/ten-weight-loss-myths/
https://www.healthline.com/nutrition/top-12-biggest-myths-about-weight-loss#TOC_TITLE_HDR_7
http://www.myhealth.gov.my/fakta-dan-mitos-penurunan-berat-badan/
http://www.myhealth.gov.my/garis-panduan-diet-malaysia-14-mesej-utama/
https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/227
http://www.myhealth.gov.my/fakta-dan-mitos-penurunan-berat-badan/
http://www.myhealth.gov.my/piramid-makanan-malaysia/
http://www.ikim.gov.my/index.php/2006/03/21/makanan-dan-pemakanan-dalam-islam/
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan