Perlindungan Hayat
Lindungi diri anda dan yang tersayang daripada ketidakpastian hidup dengan pelan insurans hayat dan takaful AIA.
{{title}}
{{label}}
Teh sudah menjadi minuman ruji untuk rakyat Malaysia – dari teh cina dan teh herba (leong cha) yang mudah didapati di gerai-gerai minuman tempatan, sehinggalah yang dicampur dengan susu seperti teh tarik dan teh si ping. Tahukah anda apa yang membezakan teh-teh ini dan yang mana satu yang paling sesuai untuk anda?
Kesemua jenis teh diperbuat daripada pokok teh atau nama saintifiknya Camellia sinensis. Daun teh ini kemudian dipetik dan diproses dengan cara yang berbeza, untuk mengeluarkan rasa dan aroma yang tertentu, dan menghasilkan pelbagai variasi teh yang ada.
Teh biasanya mendapat warna dan rasanya melalui keadaan pengoksidaan.Teh putih dan teh hijau mempunyai daun teh yang paling kurang teroksida, sementara Oolong, Hitam dan Pu’er pula menggunakan daun teh yang paling banyak teroksida. Semakin kurang teh teroksida, semakin lembut rasa dan aromanya. Apabila kadar teroksida daun teh semakin tinggi, ia akan menghasilkan teh berwarna coklat gelap, manakala daun teh dengan kadar teroksida rendah menghasilkan teh berwarna kuning kehijauan dan sedikit pucat.
Sementara itu, teh herba pula bukan dihasilkan dari pokok Camellia sinensis. Teh herba biasanya bukan dikategorikan sebagai teh tetapi digelar sebagai Tisane. Antara teh herba yang popular ialah teh peppermint, teh halia, teh moringa, teh ros, teh barli dan teh chamomile.
Teh putih melalui pemprosesan paling mudah berbanding dengan jenis teh lain. Teh jenis ini dipetik hanya beberapa hari sahaja dalam setahun di China, ketika tisu pucuk daun tersebut masih sangat lembut. Teh ini kemudian dibiarkan layu dan kering untuk mengelakkan berlakunya pengoksidaan.
Teh putih selalunya mempunyai rasa dan aroma yang lembut. Nuansanya digambarkan sebagai lembut, membangkitkan rasa segar seperti aroma buluh, asparagus atau bauan berunsur tanah seperti badam. Aroma teh ini juga lebih cenderung ke arah bauan jambangan bunga. Variasi teh putih paling terkenal ialah Silver Needle (Bai Hao Yin Zhen) yang berasal dari China.
Teh hijau mengekalkan warna pentingnya kerana ianya tidak teroksida. Teh jenis ini akan diproses dengan membuang bahan yang boleh menyebabkan proses pengoksidaan. Daun teh akan dipanaskan dengan suhu terkawal untuk menjamin aromanya, ia juga bertujuan untuk mengekalkan kualiti teh dan warna hijau pada daun teh yang diproses. Antara jenama teh hijau yang terkenal ialah Dragon’s Well (Lung Ching) yang berasal dari China dan Sencha dari Jepun.
Teh Oolong merupakan teh yang diproses separuh teroksida. Perkataan “Oolong” berasal dari Bahasa Cina yang bermaksud “Naga hitam”. Daun teh yang lebih besar dan matang akan dipetik kemudian dilayukan, digulung, dioksida dan kemudian dibakar. Teh Oolong mempunyai rasa dan aroma yang berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang berbeza, dimana iklim dan jenis tanah memainkan peranan dalam membezakan aroma teh ini. Jenama teh hitam yang terkenal ialah Goddess of Mercy (Tie Guan Yin) berasal dari China.
Untuk kebanyakan teh hitam, pucuk teh muda dipetik sebelum dilayukan, digulung, melalui proses pengoksidaan sepenuhnya kemudian dibakar. Teh ini berasal dari China namun kini ia ditanam secara meluas di seluruh dunia. Antara teh hitam yang terkenal datangnya dari rantau India seperti Assam, Darjeeling, Nilgiri dan Sri Lanka.
Teh hitam terdapat dalam dua bentuk; dikisar menjadi serbuk dan dalam bentuk daun. Teh hitam yang dikisar cenderung untuk mempunyai kandungan kafein lebih tinggi, menjadikan ia minuman pagi paling ideal jika ditambah dengan susu dan gula. Teh hitam dalam bentuk daun pula lebih cenderung untuk mempunyai rasa halus dan lembut menjadikan ia minuman ringan paling sesuai sepanjang hari.
Teh Pu’Er adalah sejenis teh yang ditapai. Teh jenis ini menggunakan beberapa jenis mikrob dan bakteria untuk proses penapaian daun teh. Teh ini dimampatkan ke dalam bentuk seperti batu-bata atau cakera. Rasa teh ini boleh berubah berdasarkan berapa lama ianya disimpan. Teh jenis ini disimpan sehingga 30 tahun untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mahal.
Teh Pu’er biasanya berwarna gelap dan rendah kafein, ianya juga mempunyai rasa yang menenangkan. Masyarakat Cina percaya bahawa Pu’er membantu proses penghadaman, dan dalam satu kajian baharu mendapati bahawa teh ini boleh menurunkan kadar kolesterol dalam badan.
Teh melambatkan proses penuaan
Teh kaya dengan antioksidan yang mampu menghalang tubuh badan dari penuaan dan menentang kerosakan yang berpunca dari pencemaran. Teh yang kurang pengoksidaan seperti teh hijau dan putih mempunyai kadar antioksidan yang lebih tinggi kerana kurang diproses berbanding dengan jenis teh lain.
Mengurangkan risiko serangan jantung & strok
Satu kajian menunjukkan risiko serangan jantung berkurang sehingga 20 peratus dan risiko serangan strok berkurang sehingga 35 peratus buat mereka yang minum 1 hingga 3 cawan teh hijau setiap hari. Risiko serangan jantung berkurang sehingga 32 peratus buat mereka yang minum 4 cawan atau lebih teh hijau setiap hari.
Menguatkan tulang
Teh moringa, salah satu jenis teh herba yang berasal dari Asia Selatan terkenal dengan kegunaannya dalam bidang perubatan. Moringa kaya dengan kalsium, zat besi, vitamin A dan K, menjadikan ini minuman pilihan yang tepat untuk membantu anda menguatkan tulang.
Meningkatkan sistem imunisasi
Kajian menunjukkan bahawa teh mempunyai keupayaan untuk meningkatkan sistem imun tubuh badan dan berkesan melawan penyakit. Teh basil atau tulsi yang mengandungi khasiat seperti anti-bakteria, anti-kulat dan anti-radang, telah digunakan oleh pengamal Ayurvedic berabad lamanya untuk membantu menguatkan sistem imun selepas berlakunya kecederaan atau ditimpa penyakit.
Teh herba melegakan sistem penghadaman
Teh herba seperti chamomile, baik bagi mereka yang mempunyai sindrom gangguan pencernaan kerana teh ini mengurangkan kekejangan otot di sekitar perut. Sementara itu, teh halia pula boleh mengurangkan rasa loya.
Teh mempunyai kafein yang kurang berbanding kopi
Kesemua teh herba yang dikisar tidak mempunyai kafein, manakala teh tradisional mempunyai kurang 50 peratus kandungan kafein berbanding kopi. Ini bermakna jika anda sensitif terhadap kafein, teh merupakan pengganti terbaik.
Kurang berasid terhadap perut anda
Pengambilan kopi sewaktu perut kosong boleh menyebabkan sakit perut, ianya berpunca daripada kandungan asid di dalam kopi yang lebih tinggi. Jika anda selalu mengalami masalah ini, bertukarlah kepada teh. Ini kerana teh kurang berasid berbanding kopi.
References
https://www.itoen.com/all-things-tea/major-varieties-tea
https://www.teasource.com/pages/types-of-tea
http://theteaspot.com/about-tea.html
https://www.today.com/series/one-small-thing/top-10-health-benefits-drinking-tea-t81111
https://qz.com/1176962/map-how-the-word-tea-spread-over-land-and-sea-to-conquer-the-world/
https://www.popsugar.com/fitness/What-Happens-When-You-Drink-Green-Tea-Instead-Coffee-44553714
AIA Vitality adalah program insurans dan kesihatan unik yang menyokong secara aktif dan memberi ganjaran kepada anda atas pilihan harian anda yang sihat supaya anda boleh menjalani kehidupan yang lebih sihat, lebih lama dan sejahtera.