Tahukah anda, sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 44.7% rakyat Malaysia berkata mereka bersenam sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bagaimanapun, angka ini menurun kepada 40.5% selepas PKP dilaksanakan di negara ini. Berhubung dengan keseimbangan kerja dan kehidupan pula, 20% menyatakan bahawa mereka bekerja lebih daripada biasa semasa PKP dilaksanakan.
Berdasarkan maklumat tersebut, nyata terdapat perbezaan antara kehidupan sebelum dan selepas tercetusnya pandemik COVID-19. Untuk membolehkan kita mengharungi kehidupan pasca pandemik, ketahuilah kepentingan penjagaan diri supaya kita semua kembali kepada rutin kehidupan seharian yang lebih sihat!
Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan penjagaan diri?
Penjagaan diri adalah proses di mana anda menjaga diri anda sendiri. Biasanya ia dikaitkan dengan masa untuk R&R atau ‘Rawat dan Rehat’. Ia proses melapangkan fikiran, merehatkan badan dan menghilangkan stres yang terkumpul. Ia juga melibatkan penjagaan spiritual dan fizikal yang sihat. Dalam erti kata lain, ia memulihkan fizikal dan memperbaiki keadaan mental yang keletihan.
Maka, berehat secukupnya untuk memulihkan tenaga boleh mengurangkan rasa letih dan lesu. Berikut adalah tiga (3) panduan yang dapat membantu anda merehatkan badan seterusnya memulihkan minda pada tahap optimum!
1. Rehatkan minda
- Ketenangan dan Kepuasan
Amalkan terapi minda dengan melakukan tugasan atau aktiviti yang mendatangkan ketenangan dan kepuasan. Minda yang sihat mampu membuatkan anda hidup lebih gembira. Anda boleh mengemas bilik tidur, menyediakan menu sihat atau luangkan masa bersama kawan baik. Dengan terapi minda, anda boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna mengikut cita rasa anda.
"Amalkan terapi minda dengan melakukan tugasan atau aktiviti yang mendatangkan ketenangan dan kepuasan. Minda yang sihat mampu membuatkan anda hidup lebih gembira."
- Kawal Minda Dan Tenaga Anda
Kerja bukanlah perkara utama yang memenatkan minda dan badan. Tahukah anda, rakan yang menelefon untuk mengadu masalah atau menonton filem yang menggangu emosi juga boleh menyebabkan otak anda ligat bekerja kerana perlu memproses perkara yang tidak penting. Ia adalah faktor yang memenatkan minda dan meletihkan badan. Jadi, kawal minda anda agar tenaga anda lebih terkawal. Utamakan perkara penting, terutamanya dalam tempoh anda berehat. Tetapkan had dan berfikir bila dirasakan perlu dalam persekitaran yang tenang.
2. Rehatkan badan
- Rehat Secukupnya
Kurang berehat boleh menyebabkan anda diserang sakit kepala, kurang bermaya dan sakit leher. Ini akan mempengaruhi prestasi kerja anda. Pastikan tubuh badan anda mendapat rehat yang secukupnya supaya ia mampu memberikan anda tenaga, kesihatan dan keupayaan yang diperlukan setiap hari.
- Dapatkan Tidur Yang Mencukupi
Pastikan anda tidur selama 7 hingga 9 jam setiap malam agar badan dapat rehat dan sel-sel badan dapat dipulihkan. Barulah anda dapat kembali cergas keesokan hari!
- Utamakan Pemakanan Sihat
Badan yang kuat adalah badan yang sihat. Anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan tanpa perlu mengamalkan diet pemakanan yang membebankan diri. Hanya pastikan anda mengimbangi diet dengan mengambil buah-buahan, sayur-sayuran, minum air secukupnya dan makanan sihat yang lain. Pelan diet yang sihat dan seimbang seharusnya lengkap dengan kelas makanan yang diperlukan badan. Ingat, pemakanan sihat boleh menjurus kepada gaya hidup sihat. Jika anda mengamalkan pemakanan sihat secara konsisten, maka proses pemulihan kesihatan diri dapat dilakukan dengan lebih sempurna!
3. Rehatkan jiwa
- Lakukan Perkara Yang Menggembirakan
Tak kiralah mendengar muzik kesukaan, meluangkan masa di luar rumah atau melakukan sesuatu yang diminati – anda bebas untuk memilih kegembiraan anda sendiri. Jika anda anggap bersenam boleh menggembirakan anda, lakukan senaman yang disukai. Jika keadaan tidak mengizinkan, anda tidak perlu ke gimnasium kerana anda masih boleh melakukan senaman mudah seperti planking, breeze walking atau j-robik di kediaman anda. Nak lagi seronok, ajak rakan anda dan bersenamlah bersama-sama!
"Tak kiralah mendengar muzik kesukaan, meluangkan masa di luar rumah atau melakukan sesuatu yang diminati – anda bebas untuk memilih kegembiraan anda sendiri."
- Tetapkan Rutin Harian
Atur semula rutin kehidupan anda. Dengan cara ini anda tidak akan berasa terlalu tertekan dan letih. Walaupun menetapkan rutin nampak agak membosankan dan rumit pada awalnya, tetapi ia boleh dijadikan garis panduan umum untuk memastikan anda mempunyai masa dan dapat melaksanakan semua rancangan dengan baik. Ia juga mengelakkan anda daripada menjadi terlalu letih atau stres, terutamanya bila ia melibatkan kehidupan pasca pandemik yang serba-serbi dijalankan dalam norma baharu. Pastikan anda juga meluangkan masa untuk diri sendiri (me time) dalam rutin anda!
Kesimpulannya, ketahuilah kepentingan penjagaan diri agar kita dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dalam norma baharu. Seimbangkan pemakanan, rutin kehidupan, kesihatan mental dan fizikal agar proses pemulihan diri dapat dilakukan pada tahap optimum. Ia seterusnya menjadikan badan lebih sihat dan cergas untuk terus hidup bersama COVID-19 dalam fasa endemik.
Artikel berkaitan