Bouldering adalah sejenis sukan seperti rock climbing tetapi ianya lebih mudah. Ia merupakan alternatif yang lebih selamat yang dilengkapi tikar keselamatan dan ketinggian yang tidak terlalu tinggi. Sama seperti rock climbing, anda perlu memanjat “batu” tersebut dengan teknik yang betul cuma ianya lebih senang untuk dilakukan kerana ia tidak melibatkan banyak peralatan; anda hanya perlukan kasut dan kapur.
Walaupun joging, berbasikal dan melakukan senaman di gim dapat membina badan yang lebih sihat, aktiviti memanjat juga mendatangkan pelbagai manfaat. Antaranya:
Senaman badan secara menyeluruh
Apabila anda melakukan bouldering, ia akan menggunakan otot secara menyeluruh terutamanya di bahagian atas dan bawah badan. Otot bahagian belakang dan tangan akan digunakan semasa anda menarik diri ke atas manakala otot di perut dan kaki akan digunakan semasa anda menstabilkan diri semasa memanjat. Anda bukan sahaja dapat bersenam sambil melakukan aktiviti yang menyeronokkan, malah anda dapat menggunakan masa dengan lebih efektif untuk menguatkan otot-otot anda.
Lebih banyak pergerakan dan fleksibiliti
Bouldering memerlukan badan anda untuk bergerak ke pelbagai arah. Perubahan arah yang berterusan ini memerlukan badan anda untuk menyesuaikan diri dan mempelajari pelbagai teknik gerakan dengan berkesan yang dapat meningkatkan fleksibiliti anda. Ini akan dapat membantu anda melakukan aktiviti seharian dengan lebih lancar seperti membawa barang runcit, mengambil barang dari kabinet, atau menangkat kotak dari lantai.
Membakar kalori
Menurut Jiří Baláš, seorang penyelidik dan pensyarah Charles University di Prague, mereka yang mempunyai berat badan 70kg secara puratanya akan membakar lapan hingga sepuluh kalori seminit semasa melakukan aktiviti memanjat. Oleh itu, bergantung kepada berat, ketinggian, umur dan jantina, seorang lelaki atau wanita dapat membakar sehingga 600 kalori sejam semasa melakukan aktiviti memanjat dengan kadar intensiti biasa, bersamaan dengan dua burger keju dari McDonalds.
Merangsang fungsi otak
Bouldering memerlukan anda untuk memikirkan setiap langkah yang perlu diambil dan ini mampu membantu memperbaiki fungsi otak dalam jangka masa panjang. Setiap kali anda memanjat anda perlu menentukan posisi kaki dan tangan anda untuk memastikan anda tidak jatuh dan dapat mengimbangkan berat badan anda. Keputusan seperti ini dapat membantu koordinasi tangan dan mata di samping meningkatkan keupayaan minda anda. Menurut sebuah kajian daripada seorang pakar psikologi di University of North Florida pada tahun 2015 mendapati bahawa melakukan aktiviti memanjat dapat menguatkan daya ingatan serta fungsi kognitif yang lain.
Genggaman lebih kuat
Tidak dinafikan aktiviti ini akan menguatkan daya genggaman anda kerana tanpa genggaman yang kuat, pasti sukar untuk anda memanjat dengan baik. Menguatkan genggaman bukan sahaja dapat memberi kelebihan dalam aktiviti ini sahaja, kini anda boleh mengangkat bebanan yang lebih berat di gim, angkat beg anda dengan lebih lama dan banyak lagi.
Jadi, tunggu apa lagi tu? Terdapat banyak pusat rekreasi yang menyediakan aktiviti bouldering. Asalkan anda patuh pada SOP di mana jua anda berada. Jangan lupa untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan lebih-lebih lagi jika anda takut ketinggian. Bouldering bukan sahaja menyeronokkan, malah adalah salah satu kaedah terbaik untuk membina kekuatan, koordinasi dan kecergasan tubuh badan.
Rujukan
https://www.huffpost.com/entry/health-benefits-rock-climbing_n_5708847
https://www.hindawi.com/journals/tswj/2014/678387/
https://www.kelseykerridge.co.uk/news/the-health-benefits-of-bouldering/
https://time.com/3980498/tree-climbing-memory/
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/27400414/
https://www.sportsrec.com/8220409/muscles-worked-during-rock-climbing
https://time.com/5158732/rock-climbing-workout/
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan