Perlindungan Hayat
Lindungi diri anda dan yang tersayang daripada ketidakpastian hidup dengan pelan insurans hayat dan takaful AIA.
{{title}}
{{label}}08/05/2019
Kos sara hidup merujuk kepada sejumlah kos yang perlu ditanggung oleh seseorang individu atau keluarga bagi memenuhi keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman dan sebagainya demi kelangsungan dan keperluan hidup. Peningkatan kos sara hidup yang melanda rakyat Malaysia semestinya bukan perkara yang asing dalam kalangan masyarakat. Peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh kenaikan pelbagai harga barang terutama sekali barang-barang keperluan.
Seiring dengan perubahan zaman, kos sara hidup masa kini tidak lagi sama seperti 20 atau 30 tahun yang lepas. Bagi mereka yang tinggal di bandar, kos sara hidup semestinya lebih membebankan kerana secara umumnya, harga barang di bandar biasanya lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2017, sekitar 59.7 peratus penduduk di ibu negara terbeban ekoran peningkatan sara hidup. Berdasarkan laporan yang disediakan oleh Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, sebanyak 52.6 peratus warga kota terbeban dengan hutang yang menimbun.
Pastinya ramai yang mengeluh disebabkan peningkatan kos sara hidup pada masa kini. Namun, tidak ramai yang dapat menghadapi atau mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup. Sebenarnya ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menghadapi situasi ini:
Membuat pembelian sewaktu jualan murah atau jualan gudang sebenarnya mampu membantu anda untuk berjimat kerana ketika ini pastinya pihak penjual akan membuat promosi dengan harga diskaun yang sangat berpatutan berbanding harga asal. Selain itu, ada juga penjual yang membuat jualan penghabisan stok dan menurunkan harga barang kepada harga yang lebih murah.
Sebagai contoh pada hujung tahun, jualan gudang penghabisan stok pastinya boleh membantu anda menjimatkan perbelanjaan menyediakan keperluan sekolah anak-anak. Atau pada musim perayaan seperti hari Raya, pasti ada pasar raya yang membuat harga promosi dengan diskaun yang boleh membantu anda berjimat dalam membuat persediaan untuk Hari Raya.
Secara purata, setiap hari orang yang bekerja membelanjakan sekitar RM10-RM20 untuk makan tengah hari. Itu tidak termasuk perbelanjaan untuk sarapan pagi atau makan malam. Bagi menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup, salah satu cara yang bagus adalah dengan membawa bekal ke tempat kerja. Anda boleh memberi barang keperluan asas di pasar seperti sayur-sayuran, daging, ayam atau ikan untuk seminggu dan mula memasak setiap hari dan bawa bekal ke tempat kerja.
Antara kebaikan lain selain dari dapat berjimat ialah, kualiti kebersihan makanan pastinya terjamin, anda boleh mengawal kuantiti makanan untuk tujuan kesihatan dan siapa tahu mungkin jika sebelum ini anda hanya tahu memasak juadah ringkas, dengan membawa bekal ke tempat kerja pastinya kemahiran memasak anda akan menjadi lebih baik!
Sebelum berbelanja, buat perbandingan harga dahulu. Di zaman teknologi serba canggih ini, membuat perbandingan harga menjadi lebih mudah. Muat turun aplikasi Hargapedia di telefon pintar anda dan buat perbandingan harga barang dengan membandingkan harganya di beberapa pasar raya besar sebelum membeli. Dengan cara ini, anda dapat berjimat dan mengurangkan kos berbelanja barangan keperluan asas di rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: 4 KAEDAH KREATIF UNTUK MEMUPUK TABIAT MENYIMPAN
Apabila bercakap tentang kad kredit, pasti ramai yang memikirkan tentang jumlah yang perlu dibayar balik selepas menggunakan kad tersebut. Namun begitu, penggunaan kad kredit sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Ianya sebenarnya bergantung kepada cara masing-masing menggunakannya. Sebelum membuat permohonan kad kredit, anda boleh cuba membandingkan kadar caj dan manfaat kad kredit di internet. Cuba gunakan kad kredit yang menawarkan rebat tunai atau cashback. Ada yang memberi 5 peratus rebat tunai. Sebagai contoh, jika anda berbelanja sebanyak RM100 menggunakan kad kredit tersebut, anda akan mendapat RM5 rebat tunai pada penghujung bulan.
Sebelum membuat permohonan kad kredit, anda boleh cuba membandingkan kadar caj dan manfaat kad kredit di internet.
Selain itu, ada juga kad kredit yang menawarkan mata ganjaran apabila anda berbelanja. Apabila mata ganjaran yang dikumpul sudah mencukupi, anda boleh menebus mata ganjaran dengan mendapatkan pelbagai jenis hadiah yang ditawarkan oleh pengeluar kad. Namun, harus diingatkan, apabila sudah berbelanja menggunakan kad kredit, jangan lupa buat bayaran balik apabila penyata bulanan kad kredit anda tiba. Semakin lama anda menangguh pembayaran kad kredit, semakin tinggi kadar faedah yang akan dicaj. Pastinya anda tidak ingin perkara ini berlaku bukan?
Sebenarnya ada 2 cara umum untuk mengurangkan penggunaan kereta; berkongsi kereta atau beralih kepada pengangkutan awam.
i. Berkongsi kereta
Berkongsi kereta sebenarnya boleh mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kini, anda juga boleh menggunakan aplikasi seperti GrabShare, di mana anda boleh berkongsi menaiki satu kenderaan menuju ke destinasi yang sama. Dengan teknologi masa kini yang semakin mudah untuk melakukan apa sahaja, kenapa tidak lakukan sesuatu untuk kebaikan sendiri dan orang lain kan?
ii. Menaiki pengangkutan awam
Jika anda bekerja di sekitar Lembah Klang dan tinggal berdekatan dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, KTM, Monorel atau bas, gunakanlah kemudahan ini sebaik-baiknya. Gunakan pengangkutan awam apabila anda ke tempat kerja dan gunakan kereta apabila hujung minggu sahaja. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan pas bulanan bernilai RM100 pada Januari tahun 2019 kepada pengguna pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel dan pas bulanan bernilai RM50 kepada pengguna bas. Harga yang ditawarkan buat pengguna harian pengangkutan awam sebenarnya sangat berbaloi jika dibandingkan dengan kos untuk mengisi minyak, tol dan meletak kenderaan.
Beban kesan kenaikan kos sara hidup mungkin akan dapat dikurangkan sekiranya anda mengamalkan 5 tips yang diberi di atas. Berbelanjalah dengan bijak, dan dahulukan keperluan sebelum kemahuan.
References
https://www.academia.edu/33531920/Kos_Sara_Hidup_Tinggi_Cabaran_dan_Saranan
http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_publication&pg=en_ringgit&ac=95&lang=en&bb=file
http://www.majalahlabur.com/kewangan/4-helah-untuk-lawan-kos-sara-hidup-yang-meningkat-di-malaysia/
https://www.malaysiakini.com/news/383997
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Jadikan wang anda memberi lebih nilai kepada anda dengan pelbagai rangkaian pelan simpanan atau maksimumkan potensi pulangan anda dengan pelan pelaburan.
Kehidupan ini penuh dengan ketidakpastian Untuk melindungi masa depan anda dan mereka yang tersayang, merancang untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya, perlu menjadi salah satu daripada keutamaan anda.