Jika anda selalu berasa sakit terutamanya pada tulang belakang, anda tidak bersendirian. Ramai di antara kita yang pernah dan turut mengalaminya. Sakit tulang belakang boleh berpunca daripada postur badan yang tidak betul, otot lemah, tidak cukup rehat atau senaman serta tulang yang tidak fleksibel untuk melakukan aktiviti harian seperti berjalan, turun naik tangga, keluar masuk kenderaan, solat dan sebagainya. Setiap orang akan mengalami sekurang-sekurangnya satu episod sakit belakang sepanjang hayatnya.
"Jika anda selalu berasa sakit terutamanya pada tulang belakang, anda tidak bersendirian. Ramai di antara kita yang pernah dan turut mengalaminya."
Tahukah anda? Sakit belakang adalah perkara biasa yang boleh menyerang individu tanpa mengira usia. Apabila sakit belakang menyerang, seluruh badan merasai kesakitannya. Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan kecenderungan rasa sakit pada belakang anda.
Secara umumnya, sesiapa yang sudah lanjut usia (berusia 40 tahun ke atas) akan lebih cenderung menghidap masalah ini. Namun begitu, ia tidak bermaksud individu muda tidak berisiko. Teruskan membaca artikel ini untuk memahami masalah kesihatan ini dengan lebih mendalam.
Setiap pergerakan memainkan peranan penting dalam memperbaiki postur anda dari menderita sakit tulang belakang. Antara pergerakan harian yang memperbaiki postur anda:
- Semasa baring
Pilih tilam yang tegap (firm). Ia dapat menyokong tulang belakang dengan baik. Posisi yang dicadangkan adalah mengiring dan melengkungkan tubuh ke hadapan dengan meletakkan bantal di antara dua lutut semasa berbaring. - Semasa berjalan
Pilih kasut yang selesa dan sepadan dengan saiz kaki. Pastikan anda memakai kasut bertumit rendah atau kasut sukan sekiranya ingin berjalan dengan selesa untuk tempoh yang lama. - Semasa duduk
Gunakan kerusi bersandar (back rest) kerana ia dapat menyokong tulang belakang dengan baik. Untuk lebih selesa, gunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang badan anda semasa duduk. - Semasa berdiri
Sekiranya anda berdiri terlalu lama, ambil masa dengan merehatkan sebelah kaki secara bergilir-gilir di atas bangku kecil yang rendah. Anda boleh gunakan teknik mengangkat atau mengalih kaki yang betul.
"Setiap pergerakan memainkan peranan penting dalam memperbaiki postur anda dari menderita sakit tulang belakang."
Jika anda menghidap sakit tulang belakang atau ingin mengelakkan kesakitan pada tulang belakang, amalkan tiga perkara asas ini:
- Senaman - Badan anda mempunyai sekumpulan otot atau ‘core muscles’ yang berfungsi untuk menstabilkan badan anda termasuklah otot bahagian abdomen. Senaman yang menguatkan bahagian ‘core’ seperti plank, bridging atau back extention membantu mengurangkan kemungkinan terjadinya sakit belakang. Walaupun nampak mudah, pastikan anda melakukannya mengikut kemampuan badan.
- Postur - Pastikan cara anda duduk di meja adalah betul. Jangan terlalu bongkok atau menggunakan kerusi yang tidak mengikut alur tulang belakang yang asli kerana ia menyumbang kepada sakit belakang. Jika tuntutan kerja memerlukan anda duduk di meja untuk tempoh yang lama, ambil masa untuk berdiri dan berjalan sekali-sekala, seelok-eloknya setiap satu jam.
Selain itu, perkara yang harus dititikberatkan adalah memperbetulkan postur badan ketika mengangkat barang berat. Secara kebiasaannya kita akan membengkokkan tulang belakang apabila ingin mengangkat barang – ini membawa tekanan kepada tulang belakang kita. Cara yang betul adalah dengan bercangkung terlebih dahulu dan memastikan tulang belakang anda tegak. Kemudian, angkat barang tersebut mengguna otot kaki dengan berdiri tegak dari posisi bercangkung. Teknik ini memindahkan tekanan ke arah yang sesuai untuk badan.
- Menjaga Berat Badan - Berat badan berlebihan memberi tekanan lebihan kepada semua sendi badan termasuk tulang belakang. Sekiranya anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, pastikan anda cuba menurunkan berat ke tahap ideal. Amalkan pemakanan sihat dan seimbang dan jagalah berat badan agar terhindar dari sakit belakang.
Secara ringkasnya, amalkan postur badan yang betul sepanjang masa termasuklah ketika berbaring, berjalan, duduk, berdiri mahupun berehat. Tingkatkan kesedaran tentang bahaya sakit tulang belakang. Jika anda dibelenggu kesakitan yang menjejaskan aktiviti harian, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut atau dapatkan nasihat pakar sekiranya ia menjejaskan kesihatan dan kehidupan seharian anda secara keseluruhan.
Artikel berkaitan