Lemak tidak tepu kebanyakannya bersumberkan tumbuh-tumbuhan (sayuran) tetapi boleh juga didapati dalam beberapa jenis ikan. Sumber utama lemak sihat adalah daripada minyak sayuran seperti minyak kanola dan minyak zaitun. Malahan, minyak zaitun adalah salah satu sumber utama lemak untuk mereka yang tinggal di Mediterranean (seperti Itali, Greece, Sepanyol), dan sering dianggap sebagai sebab kurangnya penyakit jantung di negara-negara tersebut. Sumber lemak sihat juga boleh didapati dalam makanan berasaskan tumbuhan seperti avokado, kekacang dan bijian, contohnya biji labu dan kuaci.
Suatu lagi sumber lemak sihat adalah daripada ikan, tetapi hanya daripada ikan berlemak atau berminyak. Tisu-tisu ikan jenis ini mempunyai kandungan minyak yang tinggi. Beberapa contoh ikan berlemak adalah seperti tenggiri, trout, dan yang paling popular, salmon. Salmon mengandungi tahap lemak politaktepu yang tinggi, asid lemak omega-3, dan diketahui mampu mengurangkan tekanan darah untuk mereka yang pernah mengalami tekanan darah tinggi.
Anda boleh mengambil sebanyak mana lemak sihat yang anda mahu, tetapi anda perlu pastikan kekacang yang anda makan tidak digaramkan atau diproses. Pilihlah cara lebih sihat untuk memasak ikan seperti mengukus atau membakar berbanding dengan menggoreng.