Kuala Lumpur, 14 Ogos 2025 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Asri bin Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, berkuat kuasa 11 Ogos 2025.
Berbekalkan pengalaman melebihi 27 tahun dalam industri insurans dan takaful, Mohd Asri membawa kepakaran meluas dalam pengedaran agensi, strategi perniagaan, hal ehwal undang-undang serta tadbir urus Syariah. Pelantikan ini menandakan era kepimpinan baharu yang fokus terhadap pengukuhan komitmen AIA PUBLIC Takaful dalam menyampaikan proposisi Penyelesaian Syariah Menyeluruh (Total Shariah Solution) syarikat - pendekatan holistik yang melangkaui penawaran produk, merangkumi perlindungan kewangan yang mampan, berasaskan tujuan dan disampaikan secara professional, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Pelantikan Mohd Asri berlaku pada ketika AIA PUBLIC Takaful mencatatkan momentum yang kukuh, susualan kejayaan pengendali takaful tersebut mengisytiharkan agihan lebihan tertinggi sejak penubuhannya, berjumlah RM84 juta. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, kecemerlangan tenaga agensinya serta komitmen berterusan dalam meyampaikan nilai terbaik kepada para pelanggan.
Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia berkata: “Kami mengalu-alukan kepulangan Asri ke dalam keluarga AIA. Pengalaman luas dalam industri serta kelayakan kukuh dalam bidang Syariah menjadikan beliau individu yang tepat untuk menerajui AIA PUBLIC Takaful ke fasa pertumbuhan seterusnya. Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, AIA PUBLIC Takaful akan menjadi pemacu pertumbuhan penting bagi AIA Malaysia dan membantu merealisasikan aspirasi strategik kami. Dengan kehadiran Asri, kami berharap dapat mempercepatkan pengembangan tenaga agensi Takaful profesional kami, sekali gus membolehkan kami melindungi lebih ramai rakyat Malaysia serta memperkukuhkan lagi matlamat kami untuk membantu pelanggan menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.”
Sebelum pelantikan ini, Mohd Asri berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful Bhd sejak 2018. Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan di AIA PUBLIC Takaful termasuk Ketua Tadbir Urus dan Strategi.
Mohd Asri berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia dan memiliki dwi ijazah dalam bidang Syariah (LLBS) dan Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
–Tamat –
Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.
AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.
Mengenai AIA Group
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $305 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2024.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.