pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Malaysia Rai Inisiatif Pelajar yang Penuh Inspirasi pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools

22 Mei 2025 dot Bacaan 3 min

18 sekolah menang AS$100,000 atas usaha membudayakan kesejahteraan pelajar

Kuala Lumpur, 22 Mei 2025 – AIA Malaysia hari ini meraikan pencapaian cemerlang 18 buah sekolah rendah dan menengah pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) bagi mengiktiraf usaha mereka yang inovatif dan berimpak tinggi dalam membudayakan kesejahteraan pelajar serta memacu perubahan bermakna dalam komuniti sekolah.

Majlis anugerah tahun ini merupakan kemuncak bagi edisi kedua Pertandingan AIA Healthiest Schools (AHS) – acara utama di bawah program AHS. Pertandingan ini berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mac 2025 dan telah menerima lebih 60 penyertaan daripada sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa dari seluruh Malaysia.

Sekolah-sekolah yang menang telah dipilih oleh panel juri AHS berdasarkan skop dan pelaksanaan projek, tahap keterlibatan bersama guru, pelajar dan komuniti, impak keseluruhan serta kelestarian jangka panjang. Semua sekolah menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$ 100,000 (sekitar RM450,000) di bawah kategori ‘Pemenang’ dan ‘Kepujian’ bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

Bagi kategori sekolah rendah, SJK (C) Hwa Lien, sebuah sekolah di Pulau Ketam, Selangor, muncul juara dengan inisiatif My School, My Home 2.0. Projek ini bertujuan menangani cabaran kesihatan mental akibat tekanan digital, pengasingan sosial dan halangan bahasa dalam kalangan pelajar. Sekolah ini memperkenalkan lima (5) modul inklusif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi, perayaan budaya, aktiviti fizikal serta sokongan bahasa. Dengan sokongan ibu bapa, komuniti Orang Asli dan sekolah-sekolah yang berhampiran, inisiatif ini telah berjaya memupuk komuniti pelajar yang lebih terhubung dan berdaya tahan.

Pemenang Kategori Sekolah Rendah

Tempat Pertama (AS$ 10,000 / RM 45,000) : SJK (C) Hwa Lien (Selangor)
Tempat Kedua (AS$ 7,500 / RM 33,700) : SK Jalan Empat (Selangor)
Tempat Ketiga (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SK Oran (Perlis)
Tempat Keempat (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SK Kuala Perlis (Perlis)

Kepujian (AS$ 3,500 / RM 15,700 setiap penerima)

  1. SJK (C) Pui Ying (Selangor)
  2. SK Padang Temu (Melaka)
  3. SJK (C) Lawan Kuda Baru (Perak)
  4. SJK (C) Han Chiang (Penang)
  5. SK Changkat Jawi (Perlis)

Sementara itu, SMK Saujana Utama di Selangor meraih tempat pertama bagi kategori sekolah menengah melalui Canscape – sebuah program terapi seni kreatif yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kesihatan mental ‘Terapi Seni Ekspresi’ sekolah tesebut. Pelajar menggunakan tin terpakai sebagai kanvas untuk meluahkan emosi mereka dan menjadikan platform seni yang ringkas dan rendah kos ini sebagai alatan berkesan untuk mengawal emosi. Inisiatif ini telah membantu mengurangkan tekanan dan kelakuan negatif seperti vandalisme, selain memupuk kesedaran emosi dan empati dalam kalangan pelajar.

Pemenang Kategori Sekolah Menengah

Tempat Pertama (AS$ 10,000 / RM 45,000) : SMK Saujana Utama (Selangor)
Tempat Kedua (AS$ 7,500 / RM 33,700)  : SMK Kuala Jenderis (Terengganu)
Tempat Ketiga (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SMK Kampung Baru Kerteh (Terengganu)
Tempat Keempat (AS$ 7,500 / RM 33,700)   : SMK Bukit Baru (Melaka)

Kepujian (AS$ 3,500 / RM 15,700 setiap penerima)

  1. SMK (P) Treacher Methodist (Perak)
  2. SMK Telok Gadong (Selangor)
  3. Sayfol International School (Kuala Lumpur)
  4. SMK Paya Rumput (Melaka)
  5. SMK Kijal (Terengganu)

Berucap di majlis anugerah, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chee Foong Wai berkata: “Program AIA Healthiest Schools adalah sebahagian daripada lanjutan matlamat kami untuk memupuk budaya kesihatan dan kesejahteraan sejak usia muda dan kami percaya perubahan yang sebenar boleh bermula dari dalam bilik darjah. Dalam tempoh hanya dua tahun, visi ini telah mencapai kemajuan yang progresif. Program ini telah mencetus kreativiti, menyemarakkan semangat dan memperkasakan generasi masa hadapan untuk menjaga kesejahteraan fizikal, mental dan alam sekitar mereka.

“Kami terharu dengan sambutan memberangsangkan terhadap pertandingan tahun ini, dengan jumlah penyertaan yang meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu. Ini adalah petanda positif bahawa momentum program semakin berkembang yang mana lebih banyak sekolah mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan ceria untuk para pelajar.”

Juara peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu SJK (C) Hwa Lien dan SMK Saujana Utama akan mewakili Malaysia di Anugerah Serantau AIA Healthiest Schools yang bakal berlangsung pada Julai ini di Danang, Vietnam. Kedua-dua sekolah akan bersaing dengan pemenang dari tujuh (7) pasaran AIA yang lain, iaitu Indonesia, Thailand, Hong Kong, Australia, Vietnam, Sri Lanka dan Filipina.

“Kami berbangga meraikan usaha luar biasa anak-anak dan warga pendidik yang giat memacu perubahan sebenar serta mencetuskan impak di sekolah masing-masing. Dan kami amat menghargai sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, rakan pendidikan kami LeapEd, panel juri, serta semua guru dan pelajar yang berdedikasi dalam menghidupkan idea-idea kreatif dan inovatif ini. Sokongan mereka amat penting dalam mengembangkan program ini dan kami berharap dapat meneruskan perjalanan ini bersama-sama untuk mewujudkan sekolah-sekolah yang lebih sihat di Malaysia,” tambah Foong Wai.

Program AIA Healthiest Schools yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, telah dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2023. Ia direka bagi memperkasakan sekolah untuk mempromosikan pemakanan sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar berumur lima (5) hingga 16 tahun. Program ini turut menyediakan bahan pengajaran percuma dalam pelbagai bahasa (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin), serta bengkel praktikal yang melengkapkan guru-guru untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan di dalam bilik darjah.

Sekolah yang berminat untuk mendaftar program AIA Healthiest Schools boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://ahs.aia.com/my/ms yang turut menyediakan akses kepada sumber pengajaran. Pihak sekolah dipelawa untuk menghantar penyertaan bagi edisi ketiga Pertandingan AIA Healthiest Schools mulai Oktober 2025.

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 75 tahun.

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat khidmat pelanggan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,400 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 17,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 5.2 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $305 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2024.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.