pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Bhd. Lantik Heng Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

6 November 2025 dot Bacaan 2 min

Kuala Lumpur, 6 November 2025 – AIA Bhd. hari ini mengumumkan pelantikan Heng Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat, berkuat kuasa 30 Oktober 2025. Zee Wang akan melapor kepada Tan Hak Leh, Ketua Pegawai Serantau AIA Group, dan menggantikan Ben Ng, yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan (Designate) di AIA Group yang beribu pejabat di Hong Kong. Ben akan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan secara rasmi mulai 1 Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Zee Wang akan memimpin perniagaan insurans hayat AIA serta entiti perniagaan AIA di Malaysia dengan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pasaran serta memacu pengembangan dan transformasi berterusan syarikat di negara ini.

Tan Hak Leh, Ketua Pegawai Serantau AIA Group, berkata: “Kami dengan sukacitanya melantik Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd. Kepakaran beliau yang mendalam dalam bidang aktuari, pemasaran, penjagaan kesihatan dan pengedaran digabungkan dengan kepimpinan yang terbukti serta rekod pencapaian dalam inovasi menjadikan beliau pilihan terbaik untuk menerajui AIA ke fasa pertumbuhan seterusnya. Saya yakin di bawah kepimpinan Zee Wang, AIA akan terus memperkukuh kedudukannya di Malaysia dan memberikan nilai yang lebih besar kepada para pelanggan.”

Mengulas mengenai pelantikannya, Heng Zee Wang berkata: “Saya amat berbesar hati diberikan kepercayaan untuk memikul tanggungjawab dan peranan ini dan meneruskan usaha membina asas kukuh yang telah dibina oleh AIA. AIA Malaysia merupakan penyumbang penting kepada AIA Group dan dengan sokongan padu daripada seluruh warga kerja serta rakan kongsi kami, saya berhasrat dan bertekad untuk terus kekal teguh dengan tujuan kami untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan, dan Bermakna.”

Zee Wang menyertai AIA pada tahun 2012 dan telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan syarikat di Malaysia. Beliau memainkan peranan utama dalam kejayaan integrasi ING Malaysia selepas pengambilalihan syarikat pada tahun 2012 dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengurus Besar Kewangan dan Aktuari pada tahun 2014.

Pada 2018, Zee Wang dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di mana beliau mengetuai pelancaran proposisi inovatif syarikat seperti Penyelesaian Kesihatan Menyeluruh dan memacu pelaksanaan AIA Vitality, sekali gus meletakkan AIA sebagai peneraju kesejahteraan holistik. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Penjagaan Kesihatan pada 2024, di mana beliau menerajui Strategi Penjagaan Kesihatan Bersepadu AIA di Malaysia yang mengubah perniagaan perubatan dan kesihatan ke arah kemampanan jangka panjang. Kepimpinan beliau telah memperkukuh kerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta memajukan pentadbiran penjagaan kesihatan.

Beliau mempunyai pengalaman selama 30 tahun merentasi pelbagai fungsi dan pasaran, termasuk Singapura, United Kingdom (UK), Hong Kong dan Korea. Zee Wang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Aktuari dan merupakan Felo Institut dan Fakulti Aktuari, UK.

Berikutan pelantikan Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Tung Hsiao Ley akan memikul tanggungjawab dan peranan yang diperluas sebagai Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat dan Penjagaan Kesihatan. Dalam kapasiti ini, beliau akan memacu pertumbuhan berkualiti tinggi bagi perniagaan Penyelesaian Korporat serta mengetuai pembangunan dan pelaksanaan Strategi Penjagaan Kesihatan Bersepadu, memperkukuh penawaran penjagaan kesihatan AIA dan komitmen syarikat terhadap penjagaan kesihatan yang mampu milik, mudah diakses dan berkesan di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman terkini AIA Malaysia, sila layari www.aia.com.my  

–Tamat –


Mengenai AIA Bhd.

AIA Bhd. adalah sebuah syarikat insurans terkemuka di Malaysia, di mana kami mendapat penghormatan menjalankan perniagaan sejak 1948. Kami menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan termasuk Perlindungan, Kesihatan, Kemalangan Diri, Manfaat Pekerja, Insurans Am, Gadai Janji, dan Persaraan untuk memenuhi keperluan dan jaminan kewangan pelanggan kami pada setiap peringkat kehidupan.

Melalui rangkaian pengedaran yang pelbagai dengan kekuatan pasukan agensi seramai 16,000 Perancang Hayat, cawangan rakan kongsi bank yang eksklusif di seluruh negara serta pasukan jualan korporat dan broker, kami memberi para pelanggan pilihan dalam menentukan bagaimana, bila dan di mana mereka menghubungi kami.

Sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas, AIA Bhd. mempunyai kekukuhan kewangan, pengalaman, rangkaian pusat perkhidmatan serta pasukan terlatih terdiri daripada lebih 2,400 kakitangan yang memberi perkhidmatan kepada 5.2 juta pelanggan kami di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2024, jumlah aset AIA Bhd. bernilai RM68.20 bilion, dengan modal berbayar sebanyak RM810 juta.

Mengenai AIA Group

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $328 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2025.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan lebih daripada 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.