Perubahan gaya hidup yang berlaku di zaman moden ini memerlukan kita sentiasa fokus dan memberikan komitmen yang melebihi jangkaan dan adakalanya melangkaui keupayaan sendiri.
Contohnya apabila bekerja berlebihan tanpa rehat atau tidur yang secukupnya, kita terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan dan salah satu daripadanya adalah insomnia.
Insomnia merupakan penyakit gangguan tidur yang menyebabkan kita sukar untuk melelapkan mata (terutamanya pada waktu malam) atau tidur lena. Terdapat beberapa jenis insomnia yang perlu anda ketahui, seperti insomnia jangka pendek ataupun insomnia kronik yang boleh berterusan untuk jangka masa panjang.
Insomnia yang berlaku dalam jangka masa pendek kebiasaannya boleh berlarutan dari satu malam sehingga beberapa minggu. Manakala, insomnia pada tahap kronik secara lazimnya berlaku untuk 3 malam (dalam seminggu) selama 3 bulan atau lebih.
Sindrom ini merupakan penyakit yang mengganggu pola tidur seseorang sehingga memberi impak terhadap keadaan fizikal, mental, emosi dan juga sosial individu berkenaan.
Menurut Institut Kesihatan Nasional (NIH), individu dengan sindrom ini tidak semestinya kurang waktu tidur. Mereka mungkin mendapat tidur yang secukupnya cuma kitaran tidur mereka tersebar dalam masa 24 jam, dan tidak tertumpu pada waktu malam sahaja seperti biasa.
Apakah punca insomnia?
Mempunyai pengetahuan tentang punca insomnia adalah langkah pertama untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini. Ketahui tanda-tanda awal yang boleh dikesan agar dapat diatasi dengan sebaiknya.
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pola tidur seseorang. Antaranya:
1. Sakit anggota badan
Individu yang sering mengalami sakit kepala, sakit sendi atau otot lebih cenderung untuk tidak dapat tidur yang nyenyak pada waktu malam.
2. Stres
Minda yang tidak tenang akibat tekanan di tempat kerja mahupun di rumah dan tekanan sosial adalah antara punca-punca awal yang boleh mengakibatkan gangguan waktu tidur. Sekiranya stres tidak dapat dikawal atau dikurangkan, lama-kelamaan ia boleh membawa kepada masalah insomnia.
3. Penyakit serius
Antara punca lain adakah penyakit sedia ada yang serius seperti sakit jantung, radang paru-paru, masalah tekanan darah dan pelbagai lagi. Akibat daripada penyakit yang dihidapi, individu akan mungkin turut mengalami tekanan mental yang boleh menyebabkan mereka sukar untuk tidur dengan lena.
4. Pengambilan kopi atau kafein berlebihan
Secara asasnya, kafein yang terdapat dalam minuman seperti kopi mahupun teh adalah tidak berbahaya. Namun, sekiranya diambil secara berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan.
5. Dengkur
Dengkur bukan sahaja mengakibatkan orang di sebelah anda sukar untuk tidur, malah anda yang berdengkur juga boleh kerap terjaga daripada tidur akibat saluran pernafasan yang terganggu. Jadi sebelum tabiat berdengkur anda mengakibatkan insomnia, anda disarankan untuk berjumpa dengan pakar ENT (Pakar Telinga, Hidung & Tekak) bagi mengetahui punca dan mencari jalan penyelesaiannya.
Penawar untuk derita insomnia
Bagi sesiapa yang mempunyai masalah insomnia, cuba amalkan beberapa tips di bawah:
1. Tetapkan rutin tidur
Amalkan rutin yang santai sebelum tidur seperti mandi air suam atau mendengar muzik yang menenangkan dapat membantu memperlahankan degupan jantung, sekali gus menjadikan tubuh anda lebih bersedia untuk tidur.
2. Kurangkan atau berhenti menggunakan telefon pintar sebelum tidur
Biasakan diri anda untuk tidak melihat pada skrin telefon pintar sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu tidur. Ini kerana cahaya pada skrin telefon mampu merangsang otak untuk terus aktif yang menyebabkan anda terus menggunakan telefon pintar.
3. Kurangkan pengambilan kafein
Sekiranya anda telah terbiasa dengan pengambilan kafein berlebihan, ini adalah masa terbaik untuk mengurangkannya. Apabila usia semakin meningkat, badan memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi. Bukan itu sahaja, jika anda sangkakan hanya kopi yang mengandungi kafein, teh juga sebenarnya mengandungi kafein. Jadi, kurangkan pengambilan minuman-minuman ini terutamanya pada waktu malam.
4. Elakkan tidur waktu siang
Tidur pada waktu siang hanya akan membantutkan usaha seseorang untuk mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam. Elakkan tidur pada siang hari bagi membenarkan tubuh anda untuk benar-benar rasa penat dan mengantuk pada sebelah malam.
5. Kurangkan stres
Ambil masa untuk rehatkan diri dan minda. Banyakkan bersenam, ambil angin segar, tinggalkan masalah anda buat seketika, ambil makanan yang berkhasiat, lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan seperti melukis. Atau, jika anda ada masa terluang, pergilah bercuti bersama yang tersayang.
6. Pastikan tempat tidur selesa
Tempat tidur yang bersepah, kotor, berbau dengan persekitaran yang bising hanya akan memberi tekanan yang semestinya membuatkan seseorang susah untuk tidur. Oleh itu, pastikan tempat tidur anda bersih dan dalam keadaan selesa dan tenang.
Seimbangkan pemakanan
Pemakanan yang seimbang memberikan anda nutrien dan tenaga yang cukup untuk dibakar sepanjang hari. Tahukah anda, tidur juga memerlukan tenaga yang cukup supaya masa tidur anda lebih berkualiti. Jadi, amalkan tabiat pemakanan yang kaya dengan protein dan karbohidrat seimbang. Anda juga disarankan untuk menyediakan jadual makanan harian agar rutin pemakanan anda lebih teratur.
Insomnia boleh dikawal
Bila anda mengetahui punca dan cara untuk mengatasi insomnia, mudah-mudahan masalah tidur anda dapat dikawal dan dapat menikmati semula tidur yang nyenyak. Sekiranya insomnia anda tidak pulih, jangan takut untuk berjumpa dengan pakar kesihatan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang terbaik untuk mengatasi masalah anda.
Rujukan
https://hellodoktor.com/tidur/insomnia/tidur-waktu-malam-terjaga/
https://hellosehat.com/pola-tidur/gangguan-tidur/penyebab-sering-terbangun-tengah-malam/
https://www.docdoc.com/id/info/condition/gangguan-tidur
https://www.doctoroncall.com.my/tanya/soalan/kenapa-saya-kerap-terjaga-malam/129376
Artikel berkaitan