Anda bersemangat untuk memulakan kerja di pagi hari namun pada pukul 2 petang, anda ‘tewas’. Rasanya seperti mahu saja disorong bantal dan tutup mata sebentar. Mengantuk dan ingin tidur semasa bekerja adalah perkara yang biasa didengari, namun apakah sebab-sebab perkara ini berlaku sehingga boleh mengganggu kualiti kerja?
1. Makan terlalu banyak karbohidrat waktu makan tengah hari
Nasi memang menjadi makanan ruji kita tetapi jika jumlahnya terlalu banyak dan sistem badan tidak membakarnya, ini akan menjadi punca badan lesu. Makan dalam jumlah yang banyak juga akan menyebabkan proses pencernaan memerlukan tenaga yang tinggi dan hasilnya tumpuan anda akan terganggu. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan jumlah nasi atau bertukar kepada karbohidrat yang mengambil masa lama untuk melepaskan tenaga, seperti nasi beras perang (brown rice), tortilla gandum, lentil dan kekacang. Pilihan pemakanan yang bijak pada waktu tengah hari boleh memberi anda bekalan tenaga untuk waktu petang.
“Kekurangan air boleh menyebabkan keletihan dan rasa mengantuk. Air kosong amat penting bagi mengekalkan kelembapan tubuh badan, jadi lebihkan pengambilan air dan kurangkan minuman air manis atau berperisa.”
2. Dehidrasi
Jika anda rasa ingin tidur pada waktu kerja, regangkan kaki anda dan minum segelas air kosong. Kekurangan air boleh menyebabkan keletihan dan rasa mengantuk. Air kosong amat penting bagi mengekalkan kelembapan tubuh badan, jadi lebihkan pengambilan air dan kurangkan minuman air manis atau berperisa. Pengambilan kopi juga harus dikawal, kerana secara berlebihan, kopi dan kafein boleh meletihkan dan tidak membantu mengekalkan daya tumpuan sewaktu bekerja.
3. Duduk terlalu lama
Jika anda menghadap komputer dari pagi sehingga petang sewaktu bekerja, pastikan anda mengambil masa untuk rehat.
Bangun dari tempat duduk anda dan buat senaman regangan atau keluar berjalan di luar pejabat. Udara yang segar dapat membantu menyegarkan diri. Cara duduk atau postur juga penting, jadi cuba duduk dengan tegak untuk meningkatkan daya tumpuan. Duduk secara senget atau menurun (slumped) boleh memberikan kesan negatif terhadap tahap tenaga anda.
4. Sukar tidur waktu malam
Kekurangan rehat pada waktu malam hanya akan mengganggu urusan hari esok. Badan manusia lazimnya memerlukan 7 hingga 8 jam rehat setiap hari. Elakkan mengambil makan malam terlalu lewat kerana badan anda masih memerlukan masa untuk proses pencernaan.
Jika anda susah untuk lelapkan mata, cuba mandi air suam atau minum susu suam untuk merehatkan badan dan minda anda. Anda juga boleh cuba buat senaman regangan badan yang ringan (light stretches) sebelum tidur untuk meletakkan badan dalam keadaan santai.
"Jika anda kerap terjaga di waktu malam, cuba lebihkan pemakanan Omega-3 dari telur ayam dan ikan dan kurangkan penggunaan telefon bimbit atau komputer riba sebelum tidur."
5. Tidur tidak lena
Ada orang mudah untuk tidur tetapi kualiti tidur tidak sebegitu bagus, jadi mereka lazimnya ingin tidur pada waktu pagi. Jika anda kerap terjaga di waktu malam, cuba lebihkan pemakanan Omega-3 dari telur ayam dan ikan dan kurangkan penggunaan telefon bimbit atau komputer riba sebelum tidur.
Anda juga harus perhatikan dan mengawal pengambilan minuman yang berkafein seperti kopi, teh dan air bergas kerana ia mungkin menyebabkan badan anda lebih terjaga pada waktu malam.
Amalkan tidur pada waktu yang sama setiap malam, kerana rutin yang konsisten mampu membantu anda tidur lena dengan lebih baik.
6. Kegemukan atau kencing manis
Masalah kencing manis atau berat badan berlebihan boleh menyebabkan anda lebih cenderung untuk tidur di siang hari. Ini kerana glukos yang tinggi dalam darah boleh melesukan badan dan melambatkan pergerakan darah. Amalkan pemakanan yang seimbang dan cuba tingkatkan kesihatan dan kecergasan badan anda.
7. Stress
Stress boleh mendorong anda untuk bekerja dengan lebih kuat, tetapi stress yang melampau boleh mengakibatkan badan anda mahukan kelegaan sementara (temporary relief) dengan tidur. Uruskan stress anda dengan bijak, supaya tahap tenaga anda boleh dipelihara dan tidak rasa ingin tidur pada waktu bekerja.
Cuba atasi isu ingin tidur pada waktu kerja dengan mengenalpasti sebab anda rasa mengantuk. Jika anda masih menghadapi masalah yang sama, segera dapatkan pertolongan atau konsultasi dengan pakar kesihatan atau pakar tidur.
Rujukan
https://kevinzahri.com/2012/08/02/kenapa-mengantuk-selepas-makan/
https://www.livestrong.com/article/331564-list-of-slow-burning-carbs/
https://www.webmd.com/sleep-disorders/ss/slideshow-fatigue-causes-and-remedies
http://psycnet.apa.org/record/2014-37739-001
https://www.diabetesselfmanagement.com/blog/what-causes-diabetes-fatigue/
https://www.everydayhealth.com/sleep-disorders/sleep/ways-snap-out-feeling-sleepy-work-home/
https://www.webmd.com/sleep-disorders/features/daytime-sleepiness-tips#1
http://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1111/j.1440-1819.2009.01925.x/full
https://academic.oup.com/sleep/article/20/10/844/2725950
https://www.everydayhealth.com/sleep/how-to-recover-after-a-sleepless-night.aspx
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan