Sebut sahaja tentang makanan ringan, kita akan terus terbayang snek-snek yang tidak berkhasiat. Contohnya keropok atau kerepek, coklat, kek, manisan dan pelbagai lagi makanan dengan kandungan nutrisi yang rendah.
Tapi tahukah anda, sebenarnya terdapat makanan ringan sihat yang boleh diamalkan dalam diet seharian kita.
Sebelum anda terperangkap dengan tabiat mengunyah snek yang tidak sihat sempena musim Piala Dunia nanti, apa kata anda cuba sediakan snek-sihat sihat ini:
1. Popcorn / Bertih jagung
Mesti ramai yang tidak sangka popcorn atau bertih jagung termasuk dalam senarai snek sihat. Bertih jagung mampu mengawal gula dalam darah, menurunkan paras kolesterol, melindungi daripada penyakit kronik, dan banyak lagi. Namun, ia boleh bertukar kepada snek yang tidak sihat apabila dicampur dengan bahan-bahan lain seperti mentega, garam, keju, karamel dan lain-lain.
"Bertih jagung mampu mengawal gula dalam darah, menurunkan paras kolesterol, melindungi daripada penyakit kronik, dan banyak lagi."
2. Yogurt
Yogurt adalah antara pilihan terbaik untuk snek secara sihat. Ia mengandungi protein, kalsium, vitamin, dan kultur hidup yang tinggi, atau probiotik, yang boleh meningkatkan mikrobiota usus bagi membantu fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Yogurt juga mampu memberi perlindungan kepada tulang dan gigi serta membantu mencegah masalah pencernaan, sekali gus meningkatkan imun tubuh badan.
3. Roti bakar
Roti bakar merupakan salah satu makanan paling popular untuk dinikmati semasa sarapan. Tetapi, anda juga boleh menikmati roti bakar sebagai snek. Bukan sahaja murah, roti bakar juga amat mudah dan pantas untuk disediakan. Ia mengandungi karbohidrat, protein, dan pelbagai lagi jenis vitamin dan mineral seperti vitamin A, vitamin C, zat kalsium serta zat besi yang sangat baik untuk tubuh badan.
4. Kekacang
Sama ada kacang gajus, kacang tanah, buah berangan, atau apa jenis kekacang sekali pun, ia merupakan snek yang kaya dengan nutrien termasuk pelbagai vitamin dan mineral. Ia mampu menstabilkan gula dalam darah, menggalakkan kesihatan jantung, dan meningkatkan penghadaman.
5. Bar granola
Bar granola mudah dibawa ke mana-mana dan sedia untuk dimakan begitu sahaja. Terdapat banyak jenis perisa bar granola termasuk kurma dan kranberi yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Antaranya ialah mengurangkan paras gula dan kolesterol, membekalkan serat yang tinggi, dan kaya dengan antioksidan.
6. Epal
Tak perlu disangkal lagi, epal merupakan salah satu buah yang paling berkhasiat di dunia. Selain tinggi kandungan serat dan air, epal juga mampu mengurangkan risiko sakit jantung dan kencing manis, kaya dengan vitamin E, antioksidan, dan membantu melancarkan sistem pencernaan.
"Sama ada kacang gajus, kacang tanah, buah berangan, atau apa jenis kekacang sekali pun, ia merupakan snek yang kaya dengan nutrien termasuk pelbagai vitamin dan mineral."
Jadi, siapa kata snek sihat membosankan dan tak sedap? Mulai hari ini, jom jadikan 6 snek sihat ini sebagai kudapan ketika menonton pasukan bola sepak kegemaran anda beraksi di Piala Dunia 2022. Ingat, kesihatan tubuh badan adalah kekayaan yang tidak sepatutnya diabaikan.
Rujukan
https://www.healthline.com/nutrition/popcorn-nutrition-and-health
https://www.healthline.com/nutrition/benefits-of-yogurt
https://www.healthline.com/nutrition/10-health-benefits-of-apples#TOC_TITLE_HDR_6
https://dailymakan.com/8-produk-tong-garden-yang-menarik-untuk-dicuba/73968/
https://www.xtra.com.my/sihat/5-snek-sihat-yang-boleh-kembalikan-tenaga-anda-selepas-penat-bersenam/
https://www.myweekendplan.asia/top-10-granola-bar-in-malaysia/
Artikel berkaitan