Adat menyambut Syawal, kalau hendak diikutkan hati, semuanya mesti serba baharu, termasuklah kereta baharu. Bak kata orang tua-tua, tak banyak, tukar sedikit pun jadilah.
Dalam kekalutan menyiapkan semua persiapan, peruntukan kewangan penting bagi mempersiapkan diri menyambut Aidilfitri. Pakaian baharu, duit raya, kos perjalanan pulang kampung, sampailah juadah yang akan disiapkan di pagi raya, semuanya mempunyai bajet yang perlu diberi perhatian.
Bagi mereka yang berkemampuan, tidak timbul masalah bajet sama ada sebelum atau selepas raya. Namun, bagaimanapun pula dengan mereka yang ingin berhemat ketika berbelanja dan mahu memiliki tabungan yang cukup selepas cuti raya?
Dalam berbelanja, ada baiknya memilih jalan selamat. Lebih bijak, berbelanjalah dengan berhemah. Kali ini, kami kongsikan tips melaram pada hari raya dengan bajet jimat poket bagi pakaian raya, kos perjalanan sampailah ke perhiasan raya.
Makanan
Selepas berpuasa selama sebulan, persediaan menyambut 1 Syawal dapat dilihat seawal Ramadan lagi dan pada waktu inilah, peniaga muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, masing-masing menjual pelbagai jenis kuih muih untuk dihidangkan pada hari raya. Ditambah pula dengan bajet kewangan, segala persiapan perlu dibeli dan hanya pada bulan ini sajalah masa yang tinggal untuk menyediakan semuanya.
Dalam memikirkan hal persiapan raya dan menyediakan kuih muih, pasti ramai antara kita yang pening sama ada mau membeli atau membuat sendiri biskut atau kuih raya. Saranan yang jimat adalah dengan membuat sendiri. Bukan saja kita boleh menjimatkan wang, malah, mengekalkan tradisi turun temurun keluarga dengan cara anda. Sebelum membeli, adalah lebih baik untuk dibandingkan kos antara membeli kuih siap atau membuat sendiri. Begitu juga dengan juadah raya, sebaiknya sebelum pulang kampung, cuba berbincang dengan adik beradik atau saudara mara terlebih dahulu mengenai juadah dan kuih muih raya yang akan disediakan. Sebelum membeli bahan mentah, bandingkan dulu harga barang mentah seperti tepung dan mentega di kawasan kampung dan rumah anda.
Sekiranya anda bakal mengadakan sambutan rumah terbuka bagi menjamu kawan-kawan serta saudara mara, persediaan awal dapat menjimatkan kos selain memudahkan kerja memasak. Sebaiknya, beli bahan kering di awal bulan Ramadan untuk mengelakkan kenaikan harga selain menetapkan jenis juadah yang akan dihidangkan serta jumlah jemputan yang bakal hadir, agar tiada pembaziran mahupun kekurangan pada majlis itu. Bandingkan juga harga perkhidmatan katerer yang mampu menyediakan kesemuanya dengan bayaran sampingan berbanding perlu memasak sendiri dengan kos lebih murah namun sedikit memenatkan.
Pakaian raya
Menyentuh soal baju raya, tanyalah sesiapa sekali pun, di hari penuh kemenangan pasti semua mahu kelihatan bergaya di mata keluarga dan insan tercinta. Namun, akhir-akhir ini, persepsi bergaya sering dikaitkan dengan jenama. Tidak salah sekiranya kita mampu, tapi kalau mahu poket lebih selamat, mungkin kita boleh cuba kaedah suai dan padankan (Mix & Match) baju raya yang sedia ada. Pasti kebanyakan daripada kita mempunyai baju yang jarang atau belum dipakai dan tersimpan rapi di dalam almari. Apa kata, kita cuba belajar cara untuk Mix & Match melalui blog atau laman web fesyen terkemuka. Kadang kata orang, kalau pandai Mix & Match, hanya dengan memakai baju berharga RM50 sekali pun, kita masih mampu kelihatan cantik jika dipadankan dengan aksesori dan keyakinan diri.
Jangan cepat rambang mata, kalau sedang berbelanja. Ada kalanya, bila terlihat sesuatu yang berkenan di hati, lumrah diri ingin terus membeli, terutama ketika membeli secara atas talian (online). Berhenti! Sekiranya ada kesempatan, bandingkan harga di pusat membeli belah dan juga online. Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam, mana tahu ketika sedang membandingkan harga, terjumpa yang lebih murah. Satu lagi tips berbelanja hemat adalah dengan membeli dua hari atau sehari sebelum raya. Biasanya, untung lebih berganda.
Andai mahu memakai baju rekaan sendiri setanding rekaan pereka fesyen terkenal, inilah masanya untuk menggunakan kreativiti dan memenuhi cita rasa diri. Sebaiknya cari sendiri rekaan atau corak kain yang berkenaan di hati di gedung fabrik yang menawarkan harga jauh lebih murah tetapi berkualiti. Jangan malu untuk mencari kain dengan harga berpatutan, walaupun dipujuk untuk membeli kain dengan rekaan terkini pada harga yang jauh lebih mahal. Bila sudah berjaya mendapatkan kain, hantarlah ke tukang jahit atau pereka fesyen sendiri. Mereka mampu menzahirkan keinginan diri untuk mendapatkan baju yang selama ini dihajati. Yang pasti, murah dan puas hati.
Sekiranya kesuntukan masa dan tempahan sudah tidak lagi diterima, mungkin kita boleh mencuba membeli pakaian siap seperti blaus dan kain atau seluar yang berasingan. Daripada situ, carilah rujukan melalui laman web atau laman sosial seperti Instagram untuk menghasilkan ciptaan baju raya sendiri tanpa perlu memeningkan kepala atau sedih kerana baju yang ditempah tidak sempat disiapkan.
Kos perjalanan & pengangkutan
Seperti biasa, menjelang musim perayaan, tiket penerbangan, bas mahupun kereta api akan habis terjual seperti pisang goreng panas. Kalau membeli di saat-saat akhir, pasti akan terlepas. Silap hari bulan terpaksa beraya sendirian di ibu kota. Rancang pembelian tiket untuk mendapat tawaran murah atau harga promosi. Kalau boleh, belilah tiket bas sebulan sebelum raya untuk mengelakkan kekecewaan.
Untuk mereka yang mempunyai kenderaan sendiri, pastinya sudah merancang perjalanan dengan lebih awal untuk selamat tiba ke destinasi yang dituju. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kereta diselenggara dengan baik. Servis kereta mengikut jadual, kerana ia boleh mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kehabisan minyak hitam atau kekurangan air ketika berjalan jauh, sekali gus menyelamatkan poket anda daripada terpaksa mengeluarkan perbelanjaan “terkejut”. Sentiasa amalkan sikap menyediakan duit kecemasan, kata orang, malang tidak berbau, setidak-tidaknya bila terjadi sesuatu yang tidak dijangka, kita mempunyai simpanan kecemasan untuk digunakan.
Dalam keseronokkan untuk pulang ke kampung halaman, sebaiknya rancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Sediakan duit tol dan minyak secukupnya, isi semula kad Touch N Go bagi melancarkan perjalanan supaya tidak perlu beratur panjang untuk membuat isian semula. Sebaiknya kalau berjalan jauh, sediakan bekal makanan dari rumah, seperti air minuman, buah-buahan atau makanan ringan yang boleh dijadikan peneman dalam perjalanan. Asing dan tetapkan duit supaya tidak berbelanja secara berlebihan di hentian rehat.
Perhiasan raya
Seiring kedatangan Syawal, benak turut sama memikirkan dekorasi ruang kediaman. Justeru, pelbagai medium menjadi rujukan supaya hasil kediaman tampak menarik dan praktikal. Namun, tidak perlu terlalu ghairah berbelanja, belilah mengikut kemampuan. Membeli barangan hiasan rumah tidak perlu mahal, cukup sekadar dibeli di kedai RM5 atau barangan terpakai dan selebihnya menggunakan kreativiti sendiri dengan mengecat semula perabot lama, mengubah suai kedudukan perabot, malah, membuat sendiri perabot secara DIY seperti rak kasut atau almari baju, yang pastinya lebih murah dan puas hati dengan hasil kerja tangan sendiri.
Berkat Ramadan
Ramadan bukan sekadar masa untuk bergembira, tetapi mengajar individu erti kesusahan dan kepayahan orang lain, termasuk memperbaiki amalan ibadat, selain mempraktikkan sikap dan sifat positif yang dipelajari sepanjang bulan mulia itu pada masa seterusnya. Oleh itu, kedatangan Aidilfitri seharusnya disambut dengan fitrah kasih sayang dan amalan bermaaf-maafan serta ziarah menziarahi, sekali gus meneruskan kesinambungan bulan Ramadan yang penuh berkat dan kemuliaan. Kemeriahan Syawal perlu dirai dalam situasi sederhana dan bukan dilalaikan dengan sikap boros dan membazir.
Sesungguhnya tiada apa yang lebih membahagiakan daripada meraikan 1 Syawal dengan keluarga tercinta. Dalam ekonomi masa kini, pendekatan yang terbaik adalah dengan bersederhana. Memang benar semua daripada kita mahu menyambut hari raya dengan meriah tetapi janganlah disambut dengan membelanjakan segala wang simpanan serta harta yang ada.
Marilah kita mengamalkan sambutan tahun ini secara berhemah. Jalanilah kehidupan secara sederhana, berbelanja dengan teliti, elak berhutang dan buatlah perancangan kewangan demi kesejahteraan keluarga.
Akhir kata selamat Hari Raya Aidilfitri.
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan