Bulan Ramadan merupakan salah satu bulan popular untuk memulakan sesuatu objektif seperti menguruskan badan, melakukan amal dan juga berjimat cermat. Tahukah anda bulan Ramadan atau lebih dikenali sebagai bulan puasa merupakan satu platform mudah untuk anda jimat dalam berbelanja? Di sini kami ingin kongsikan beberapa tips berjimat-cermat semasa bulan puasa.
1. Amalan berbelanja secara sederhana
Keadaan lapar ketika berpuasa mampu mempengaruhi minda seseorang untuk berbelanja lebih, terutamanya semasa membeli makanan di bazar Ramadan. Amalan perbelanjaan secara sederhana adalah penting untuk memastikan tidak berlakunya pembaziran. Apakah yang dimaksudkan dengan sederhana? Sederhana bermaksud tidak berlebihan tetapi memadai. Sebarang transaksi yang dilakukan haruslah difikirkan terlebih dahulu keperluan dan jumlahnya, supaya ia mencukupi tetapi tidak terbazir.
Berbelanja secara sederhana juga mampu mengatasi masalah bil dan hutang yang tidak berbayar. Harus diingat bahawa berpuasa di bulan Ramadan bukanlah satu alasan untuk kita melupakan pembayaran bil dan hutang kerana ia boleh bertukar menjadi suatu bebanan apabila bayaran-bayaran tersebut dibiarkan tertunggak.
Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita menilai diri dan amalan. Fikirkanlah mereka yang kurang bernasib baik, yang tidak berpeluang untuk menikmati makanan yang lazat ataupun tempat tinggal yang selesa. Adakah kita ingin membazir sewaktu kita boleh melakukan sesuatu untuk mereka?
2. Sediakan juadah berbuka puasa sendiri
Memasak sendiri di rumah terbukti mampu menjimatkan perbelanjaan anda semasa bulan Ramadan jika dibandingkan dengan berbuka puasa dengan buffet Ramadan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk kita merancang perbelanjaan bahan mentah untuk mengelakkan pembaziran.
Menyediakan rekod perbelanjaan sebelum membeli mampu mengurangkan risiko pembaziran dari segi kos dan penyimpanan. Bayangkan anda membeli tanpa merancang, terdapat kemungkinan anda perlu memasak sejumlah besar makanan sejurus selepas proses pembelian kerana tempat penyimpanan anda tidak mencukupi. Ini merupakan satu jenis pembaziran yang perlu dielakkan.
Mencuba sesuatu yang baharu merupakan perkara yang menarik namun tidak digalakkan ketika bulan Ramadan. Suatu makanan yang tidak biasa dimakan oleh sesebuah keluarga mungkin boleh mendatangkan penyakit yang tak diundang seperti sakit perut. Penyakit ini bukan sahaja akan mengganggu perjalanan puasa anda, malah anda perlu mengeluarkan duit untuk rawatan di klinik atau hospital.
Sebelum tibanya hari raya, adalah digalakkan untuk anda berbelanja lebih awal untuk sambutan hari raya bagi mengelakkan kenaikan harga barang yang mendadak sempena musim perayaan. Namun jangan lupa padankan barang pembelian dengan tempat penyimpanan.
3. Tips membeli juadah berbuka di luar
Terdapat pelbagai strategi jimat belanja semasa membeli juadah berbuka. Salah satunya ialah elakkan daripada membeli terlalu banyak makanan sampingan yang tidak mengenyangkan seperti kuih-muih. Jika anda ingin membelinya, belilah secara berhemah, nescaya dompet anda akan berterima kasih pada anda.
Berkongsi juadah juga merupakan salah satu taktik menarik untuk menikmati pelbagai makanan pada hanya 1 harga yang murah. Setiap individu hanya perlu membeli 1 juadah dan kemudiannya ia dikongsi bersama rakan-rakan yang membeli juadah yang berbeza-beza. Hebat bukan?
Untuk mengelakkan anda terlebih berbelanja, hadkan jumlah yang dibawa semasa membeli di pasar atau bazar Ramadan. Apabila anda melihat helaian ringgit yang kian menipis di dalam dompet, anda mesti takut untuk berbelanja lebih. Selain itu anda juga boleh membeli lauk sahaja di luar dan memasak nasi dan menyediakan air minuman di rumah sebagai langkah berjimat.
Anda tentunya mahukan raya yang girang dan meriah. Dan sudah tentu, di hari raya nanti, anda perlu berbelanja lebih untuk pulang ke kampung dan menampung pelbagai persediaan lain. Oleh itu, korbankanlah nafsu anda di bulan Ramadan ini demi hari raya yang lebih menggembirakan.
Berjimat-cermat sepatutnya dijadikan amalan setiap masa dan bukannya sekadar di bulan Ramadan. Ayuh kita jadikan bulan Ramadan sebagai permulaan untuk kita berjimat-cermat dalam setiap perbelanjaan kita; kerana pembaziran itu tidak kelihatan dengan mata kasar.
Rujukan:
http://www.mmgazette.com/sakit-gastrik-dr-ruhi-fadzlyana/
https://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkk/barang-kawalan/
http://muis.org.my/2014/07/berjimat-cermat-di-dalam-bulan-ramadhan-dan-syawal/
http://insuranskereta.my/4-langkah-berjimat-cermat-ketika-bulan-puasa/
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan