Air merupakan bahan kedua terpenting dalam tubuh manusia selepas oksigen. Malah, lebih 60 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Cecair ini mempunyai pelbagai fungsi penting dalam memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas.
Bagaimanapun, sebahagian besar daripada kita tidak menitikberatkan pengambilan air yang secukupnya dalam kehidupan seharian dan lebih gemar minuman bergula yang boleh meningkatkan kalori dalam badan.
Setiap hari, badan kita kehilangan 10 hingga 12 cawan air secara purata yang perlu digantikan untuk mengekalkan keseimbang kesihatan tubuh badan.
Oleh itu, kita perlu tahu akan kepentingan pengambilan air yang mencukupi agar tubuh kita kekal hidrat dan menjadi amalan harian untuk kehidupan yang lebih sihat.
Tidur malam yang mencukupi membuatkan kita berasa lebih segar. Apabila mendapat tidur yang mencukupi, kita akan bangun dengan rasa lebih segar, lebih peka dan lebih gembira. Selain dari mengembalikan tenaga kita, terdapat banyak lagi kebaikan tidur yang membantu memulihkan tubuh badan.
1. Membekalkan tenaga sepanjang hari
Adakah anda sering berasa letih dan lesu dalam kehidupan seharian? Jika jawapannya ‘YA,’ cuba anda periksa kembali sama ada anda minum air yang mencukupi untuk tubuh anda. Untuk pengetahuan anda, tubuh kehilangan cecair apabila anda banyak berjalan, bersenam, berpeluh akibat cuaca dan sebagainya. Sekiranya kandungan air dalam badan tidak mencukupi, ia boleh menjejaskan tahap kecerdasan fizikal anda.
Oleh itu, meminum 8 gelas air yang disyorkan oleh pakar pemakanan dapat membantu tubuh anda berfungsi pada tahap yang optimum. Bagaimanapun, jumlah tersebut perlu ditambah sekiranya pekerjaan anda memerlukan anda bekerja di luar pejabat seperti pekerja-pekerja dalam bidang keselamatan dan pembinaan. Selain itu, individu yang aktif bersukan juga perlu meningkatkan pengambilan air supaya tubuh badan sentiasa dalam keadaan hidrat.
2. Mudah turun berat badan
Tahukah anda, minum air secukupnya juga mampu mempercepatkan proses penurunan berat badan? Air boleh meningkatkan kadar metabolisma badan yang berguna untuk membakar kalori. Selain itu, air juga merupakan cecair mengandungi ‘zero’ kalori berbanding air bergula.
Untuk mendapatkan kesan yang lebih baik, anda boleh memastikan kandungan air dalam tubuh anda mencukupi mengikut berat badan anda. Kuantiti yang ideal adalah sebanyak 1 liter air bagi setiap 25 kilogram. Jadi, jika berat anda adalah 75 kilogram, anda perlu minum sekurang-kurangnya 3 liter air sehari.
3. Kulit semakin sihat
Sel dalam kulit tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya kekurangan air. Air mengandungi nutrien yang boleh menyingkirkan toksin dalam badan sekali gus menjadikan kulit lebih sihat. Kandungan air yang mencukupi boleh menjana sel-sel baru bagi kulit dan rambut. Jadi, sudah tentu kulit anda akan lebih ‘bernyawa’ dan tidak kusam lagi.
Selain itu, peningkatan kuantiti air dalam badan mampu membantu melembabkan kulit dan mengurangkan masalah jerawat kerana tahap toksin yang rendah. Jika anda ingin tahu, jerawat timbul apabila liang pori pada wajah anda tersumbat kerana dilitupi dengan toksin yang tidak keluar daripada badan dengan baik. Hal ini boleh diatasi dengan meminum air secukupnya. Kurangnya penghidratan juga akan menjadikan kulit anda kering dan ketat. Jadi minumlah air secukupnya untuk kulit yang lebih halus, anjal dan licin.
4. Memperbaiki sistem pencernaan
Adakah anda sedar apabila anda minum air secukupnya, anda lebih mudah membuang air besar atau air kecil? Hal ini terjadi kerana air dalam sistem pencernaan dapat membantu memecahkan lemak dan serat larut air yang membantu sistem pencernaan badan berfungsi dengan lebih baik. Tambahan pula, kekurangan air akan mengakibatkan tubuh anda mengalami dehidrasi yang boleh menyebabkan masalah sembelit kerana usus anda menyerap kadar air dalam makanan seterusnya melambatkan proses pencernaan.
5. Meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan
Minum air secukupnya bukan sahaja melambatkan sel kanser malah ia juga dapat membantu mencegah penyakit hati dan ginjal. Selain itu, pengambilan air yang mencukupi dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Air juga dapat membantu menguatkan kembali otot-otot dan ligamen serta melancarkan sistem peredaran darah dan pernafasan.
Khasiat air bukan sekadar untuk membersihkan tubuh sahaja malah sebagai zat yang penting untuk tubuh kita. Kita boleh kekal hidup tanpa makanan untuk beberapa hari tetapi tubuh kita tidak dapat bertahan lama tanpa minum air. Oleh itu, minumlah air secukupnya untuk memperoleh 1,001 manfaat di samping mengamalkan gaya hidup lebih sihat!
Rujukan
https://www.healthline.com/nutrition/7-health-benefits-of-water#section1
https://www.everydayhealth.com/water-health/water-body-health.aspx
https://kevinzahri.com/10-kaedah-tingkatkan-metabolisme-badan/
https://www.uwhealth.org/madison-plastic-surgery/the-benefits-of-drinking-water-for-your-skin/26334
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. AIA tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.
Artikel berkaitan