Program latihan bola sepak dewasa dan kanak-kanak selama tiga hari
menyemarakkan minat, gaya hidup aktif dan semangat komuniti
Shah Alam, 3 Jun 2025 – Score with Spurs Camp, sebuah program latihan bola sepak yang dinanti-nantikan anjuran AIA Malaysia dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Tottenham Hotspur telah meraih penyertaan daripada lebih 1,300 peserta dewasa dan kanak-kanak untuk pengalaman bola sepak yang berlangsung selama tiga hari di Arena Bola Sepak Eco Ardence, Setia Alam.
Kem yang berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun 2025, dikendalikan oleh jurulatih Pembangunan Antarabangsa Tottenham Hotspur, Lily Jervis dan Sabrina Dias, bersama 24 jurulatih tempatan yang berpengalaman.
Ia dibahagikan kepada dua sesi setiap hari: sesi pagi dikhaskan untuk Junior Camp yang disertai lebih 700 pemain bola sepak cilik berumur 7 hingga 13 tahun, manakala sesi petang pula adalah bagi Adult Camp yang mencatatkan kehadiran hampir 650 peserta. Format ini memastikan setiap kumpulan mendapat latihan dan bimbingan yang disesuaikan mengikut peringkat umur bagi memaksimumkan pengalaman mereka.
Setiap hari dimulakan dengan aktiviti warm-up yang penuh bertenaga, yang juga terbuka kepada keluarga dan rakan-rakan peserta bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah serta membolehkan mereka untuk turut merasai kehangatan program ini. Selain memantapkan kemahiran asas bermain bola sepak seperti menggelecek, melakukan hantaran dan menjaringkan goal, sesi latihan turut menampilkan latihan taktikal serta perlawanan persahabatan.
Semua sesi direka dengan teliti untuk membantu para peserta membina keyakinan diri, menggalakkan kemajuan dan memupuk nilai-nilai penting seperti kerjasama berpasukan, disiplin, dan semangat kesukanan disamping memastikan pengalaman tersebut tetap menyeronokkan dan sesuai untuk semua peringkat umur serta tahap kemahiran.
Dilancarkan pada 2021 sebagai program latihan bola sepak secara maya Ketika pandemik dengan hanya 160 peserta, program Score with Spurs telah berkembang menjadi platform yang bermakna bagi rakyat Malaysia untuk kekal sihat dan aktif melalui cara yang menyeronokkan. Pada 2022, program ini telah beralih ke acara fizikal dengan pengenalan Adult dan Junior Camp, yang sejak itu telah berkembang kepada lima hingga enam sesi setiap tahun.
Dengan menjadikan latihan bola sepak bertaraf dunia lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, Score with Spurs terus menginspirasikan gaya hidup sihat, mencungkil bakat bola sepak dari peringkat akar umbi, serta memperkasakan komuniti untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana AIA Malaysia menyantuni komuniti menerusi sukan bola sepak serta kerjasamanya dengan Kelab Bola Sepak Tottenham Hotspur, sila layari www.aia.com.my.
–TAMAT–
Mengenai AIA Malaysia
AIA Malaysia adalah sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 75 tahun.
Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.
Menerusi rangkaian pusat khidmat pelanggan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,400 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 17,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 5.2 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Mengenai AIA
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $305 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2024.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.