pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA PUBLIC Takaful Dinobat Syarikat Takaful Terbaik di GIFA 2025

12 September 2025 dot Bacaan 2 min

Pengiktirafan global mengukuhkan kepimpinan AIA PUBLIC Takaful dalam
menyediakan perlindungan patuh Syariah berasaskan tujuan
kepada rakyat Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful Bhd., Mohd Asri Omar (kanan) menerima anugerah Syarikat Takaful Terbaik di majlis Global Islamic Finance Awards (GIFA) yang berlangsung di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, 12  September 2025 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) telah dinobatkan sebagai Syarikat Takaful Terbaik di majlis anugerah Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025 yang berprestij. Pengiktirafan sulung di GIFA ini menandakan satu pencapaian penting yang menyerlahkan pengaruh AIA PUBLIC Takaful yang semakin berkembang dalam industri takaful sekaligus mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam menawarkan penyelesaian patuh Syariah yang inovatif serta berasaskan nilai kepada rakyat Malaysia.

Menyatakan penghargaan terhadap pengiktirafan ini, Mohd Asri Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, berkata: Kami amat berbesar hati diiktiraf sebagai Syarikat Takaful Terbaik di Global Islamic Finance Awards 2025. Anugerah ini membuktikan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam menyediakan perlindungan kewangan yang berasaskan tujuan dan mampan kepada rakyat Malaysia. Ia turut mencerminkan sinergi kukuh yang terjalin dalam keluarga besar AIA Malaysia yang terus menyokong dan memperkukuhkan lagi usaha kami. Pencapaian yang membanggakan ini adalah bukti dedikasi dan kepercayaan para pelanggan, kakitangan, tenaga agensi serta rakan kongsi kami dan ianya menjadi inspirasi untuk kami meningkatkan lagi kecemerlangan dalam industri takaful.”

Sebagai salah satu pengendali takaful terkemuka di negara ini, AIA PUBLIC Takaful terus memacu kemajuan industri melalui proposisi Penyelesaian Syariah Menyeluruh (Total Shariah Solution), satu pendekatan holistik yang unik dan berbeza yang berpandukan prinsip Maqasid Syariah.

“Penyelesaian Syariah Menyeluruh kami melangkaui perlindungan tradisional dengan mengintegrasikan elemen kelestarian, etika dan tanggungjawab sosial sebagai teras utama. Kami komited untuk membentuk ekosistem takaful yang memberi impak bermakna kepada individu, keluarga dan komuniti. Seiring dengan kemajuan kami, AIA PUBLIC Takaful akan terus memimpin dengan tujuan, menetapkan penanda aras baharu dan memacu perubahan positif dalam industri demi memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” tambah Asri.

Kini memasuki tahun ke-15 penganjurannya, GIFA merupakan antara anugerah paling berprestij dalam industri perbankan dan kewangan Islam, yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu atas sumbangan serta pencapaian cemerlang mereka yang mendorong pertumbuhan dan kelestarian industri.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan penawaran produk AIA PUBLIC Takaful,  sila layari www.aia.com.my

–Tamat –


Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.

AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.

Mengenai AIA Group

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $328 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2025.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.