Bekerjasama dengan UIAM untuk menyalurkan biasiswa berjumlah RM1.6 juta bagi menyokong pelajar mencapai aspirasi akademik dan kerjaya
Kuala Lumpur, 19 November 2025 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) mengumumkan pelancaran Program Biasiswa AIA Penyala Harapan – satu inisiatif yang bertujuan memperkasa pelajar-pelajar Malaysia yang berpotensi tinggi melalui pendidikan. Biasiswa ini direalisasikan hasil daripada sumbangan lebihan takaful peserta sijil AIA PUBLIC Takaful yang disalurkan secara kolektif ke dalam Tabung Amal AIA Penyala Harapan, sebuah dana khas yang ditubuhkan oleh pengendali takaful tersebut bagi menyokong pelbagai usaha kebajikan yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di seluruh Malaysia.
Dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Bahagian Tabung Wakaf UIAM (IIUM Endowment Fund (IEF)), biasiswa ini terbuka kepada pelajar tahun pertama yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam, dan Undang-undang. Sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan untuk menyokong 20 penerima biasiswa bagi kohort pertama yang merangkumi perbelanjaan yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian sehingga empat (4) tahun. Para penerima biasiswa juga berpeluang untuk menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk kepada pemenuhan syarat akademik dan program.
Mohd Asri Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, berkata: “Di AIA, matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna – dan kami percaya pendidikan merupakan salah satu cara terbaik untuk mencapainya. Kami berbesar hati kerana program biasiswa ini adalah inisiatif pertama yang direalisasikan melalui Tabung Amal AIA Penyala Harapan. Dengan UIAM sebagai rakan universiti, kami komited membentuk pelajar yang bersemangat dan berwawasan serta memperkasa mereka untuk membina masa depan dan membawa impak positif bukan saja kepada kehidupan mereka malah kepada keluarga serta komuniti.
“Inisiatif ini turut mencerminkan intipati proposisi unik kami iaitu Penyelesaian Syariah Menyeluruh yang berlandaskan prinsip Maqasid Syariah untuk menunjukkan bahawa Takaful bukan sekadar pelan perlindungan tetapi juga membawa makna yang lebih mendalam. Melalui salah satu tonggak utama proposisi ini – Berkat Sama-Sama, produk kami membolehkan pelanggan menghayati semangat kebersamaan dengan mendermakan lebihan takaful mereka untuk kesejahteraan masyarakat. Kami berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan oleh para pelanggan untuk menyalurkan lebihan takaful mereka bagi membantu golongan belia Malaysia mengejar aspirasi akademik serta membina kerjaya yang bermakna dan kami amat menghargai sumbangan ini yang telah menjadikan inisiatif ini satu kenyataan. Matlamat kami adalah untuk membina ekosistem biasiswa mampan yang akan terus mengangkat dan memberi inspirasi kepada generasi muda agara dapat berkembang maju melalui kuasa pendidikan.”
UIAM dipilih sebagai rakan strategik kerana reputasi akademiknya yang kukuh serta peranannya sebagai universiti Islam terkemuka di Malaysia dan merupakan salah satu institusi Islam terunggul di peringkat global. Dengan nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam setiap disiplin, UIAM berkongsi matlamat yang sama dengan AIA PUBLIC Takaful dalam menggalakkan pembangunan beretika dan berasaskan nilai. Visi bersama ini menjadikan UIAM pilihan tepat untuk program ini yang bertujuan memberi inspirasi kepada pelajar melalui pendidikan yang memperkasa potensi, membentuk masa depan serta berlandaskan prinsip-prinsip Syariah.
Prof. Dato' Dr. Mohamad Fauzan bin Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, UIAM menambah: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AIA PUBLIC Takaful dalam inisiatif yang bermakna ini. Di UIAM, kami komited untuk melahirkan graduan yang holistik, menggabungkan kecemerlangan akademik dengan nilai etika yang kukuh. Pendidikan terbukti mampu membawa transformasi yang hebat dan biasiswa ini akan membantu pelajar-pelajar kami mencapai matlamat akademik mereka serta mencapai potensi mereka sepenuhnya di samping menyumbang kepada kemajuan sektor kewangan Islam dan sektor-sektor utama lain. Kami percaya kerjasama ini bukan saja memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kami tetapi juga dapat mengukuhkan semangat tanggungjawab bersama dalam komuniti takaful serta dapat menggalakkan usaha kolaboratif yang lebih besar bagi menyokong pendidikan dan kemajuan sosial.”
Pemilihan penerima biasiswa adalah berdasarkan gabungan prestasi akademik, keperluan kewangan dan aspirasi masa depan yang jelas. Bahagian IEF akan memainkan peranan penting dalam menilai calon, menyediakan bimbingan akademik serta memantau perkembangan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka. Kerjasama ini memastikan para penerima biasiswa bukan sahaja menerima sokongan kewangan tetapi juga bimbingan yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan pembangunan peribadi.
Pelajar yang layak dan telah menerima tawaran kemasukan bagi kursus ijazah sarjana muda yang dinyatakan di UIAM digalakkan untuk memohon melalui Bahagian IEF atau layari www.aia.com.my untuk maklumat lanjut.
–Tamat –
Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.
AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.
Mengenai AIA Group
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $328 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2025.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.
Mengenai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1983 merupakan institusi global terkemuka yang mengintegrasikan nilai-nilai Islam dengan kecemerlangan akademik merentasi pelbagai bidang pengajian. Dengan kampus di Gombak, Kuantan, Kuala Lumpur, Gambang dan Pagoh, UIAM menawarkan kemudahan bertaraf dunia serta rangkaian program yang komprehensif disamping memupuk pendidikan holistik yang memberi penekanan kepada ilmu, etika dan kepimpinan. Sebagai rumah kepada pelajar dan kakitangan dari lebih 100 negara, UIAM berpegang teguh kepada falsafahnya sebagai “Taman Ilmu dan Budi”, melahirkan graduan yang profesional, beretika dan bertanggungjawab sosial. Sehingga kini, UIAM telah menghasilkan lebih 123,000 alumni yang memberi sumbangan besar kepada komuniti tempatan dan antarabangsa.