Kuala Lumpur, 4 Ogos 2025 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) telah mengumumkan agihan lebihan tertinggi sebanyak RM84 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, yang memanfaatkan kira-kira 617,000 pemegang sijilnya. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 19% berbanding RM70.7 juta pada tahun 2023 dan merupakan agihan lebihan tertinggi oleh pengendali takaful tersebut setakat ini.
Lebihan yang kukuh ini mencerminkan kualiti portfolio sijil aktif AIA PUBLIC Takaful serta tumpuan strategik syarikat untuk membina tenaga agensi yang paling produktif dan profesional. Disokong oleh kedudukan berterusan AIA sebagai syarikat ‘Million Dollar Round Table’ (MDRT) nombor satu di Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut, pencapaian ini menjadi bukti kekuatan tenaga agensinya dan menggariskan komitmen AIA PUBLIC Takaful untuk membantu pelanggan menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Pemegang sijil yang layak telah dimaklumkan mengenai agihan lebihan mereka secara berperingkat bermula Julai 2025 melalui pelbagai saluran komunikasi, termasuk surat mel, e-mel dan SMS. Selain itu, notifikasi juga boleh didapati melalui aplikasi AIA+ yang membolehkan para pelanggan mengakses Surat Lebihan mereka dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana saja.
Bagi sijil yang masih berkuat kuasa, jumlah lebihan telah dikreditkan ke dalam Dana Pelaburan Peserta atau Akaun Peserta pada Jun 2025 mengikut terma dan syarat sijil. Pelanggan yang belum menerima sebarang notifikasi boleh menghubungi Perancang Hayat masing-masing atau Talian Khidmat Pelanggan AIA PUBLIC Takaful di 1300-88-8922 untuk bantuan lanjut.
Selaras dengan prinsip dan konsep takaful yang berlandaskan bantuan dan sokongan bersama, pelanggan yang menyertai pelan terpilih AIA PUBLIC Takaful turut diberi pilihan untuk mendermakan lebihan mereka kepada badan kebajikan.
Bagi tahun kewangan berakhir 2024, hampir 11,000 pemegang sijil telah memilih untuk menyumbangkan lebihan mereka, yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.53 juta kepada Tabung Amal Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful. Jumlah tersebut merekodkan peningkatan sebanyak 15% berbanding sumbangan tahun sebelumnya yang berjumlah RM2.2 juta.
Penyertaan yang semakin meningkat ini mencerminkan komitmen yang semakin tinggi dalam kalangan pelanggan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti yang akan membantu mengukuhkan inisiatif-inisiatif amal bagi memperkasakan rakyat Malaysia untuk hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.
Lebihan takaful adalah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali takaful, sekiranya ada, yang terhasil daripada Dana Risiko Peserta (Dana Tabarru’) setelah ditolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun, dan keperluan modal solvensi. Jumlah lebihan yang diagihkan secara tahunan, dikongsi secara saksama dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan caruman Tabarru’ mereka, dengan syarat sijil kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran produk atau inisiatif komuniti AIA PUBLIC Takaful, layari www.aia.com.my
–Tamat –
Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.
AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) ) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.
Mengenai AIA
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $305 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2024.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 43 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker AAGIY”.