Pengendali Takaful anjur majlis rumah terbuka Aidilfitri untuk berkongsi keceriaan bersama 100 anak-anak yatim
Kuala Lumpur, 7 Mei 2024 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) hari ini mengukuhkan komitmennya terhadap pengayaan dan kesejahteraan komuniti dengan menyalurkan dana sebanyak RM800,000 kepada program Kongsi Rezeki yang merupakan satu inisiatif komuniti syarikat dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA).
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas pada majlis rumah terbuka Aidilfitri pengendali Takaful tersebut yang berlangsung di Dewan Perdana Felda bersempena bulan Syawal yang mulia.
Sumbangan berkenaan akan disalurkan sepanjang tahun kepada 15 rumah anak yatim yang merupakan benefisiari program Kongsi Rezeki. Dana tersebut akan menyediakan sokongan penting dalam bentuk bekalan harian dan keperluan lain serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental kanak-kanak kurang bernasib baik ini.
Ketika berucap di majlis rumah terbuka, Elmie berkongsi bahawa sumbangan itu mengukuhkan komitmen syarikat untuk memacu perubahan bermakna yang membawa impak positif kepada komuniti di mana ia beroperasi.
“Kami teruja untuk melanjutkan program Kongsi Rezeki untuk tahun keempat. Menyedari kepentingan menyokong inisiatif yang memperkasakan komuniti kita, adalah penting untuk kami terus memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab. Dengan peruntukan tambahan ini, kami bukan saja dapat memperluaskan jangkauan program malah impaknya, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna. Kami berharap sumbangan ini dapat menjamin masa depan yang lebih cerah di mana setiap kanak-kanak boleh memenuhi impian, tampil cemerlang dan berkembang maju dengan cara tersendiri.”
Majlis rumah terbuka itu menjadi lebih istimewa apabila seramai 100 anak-anak yatim dan penjaga dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah, Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman turut hadir memeriahkan majlis tersebut bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Syariah, pasukan pengurusan, kakitangan, rakan bank dan tenaga agensi AIA PUBLIC Takaful serta pengamal media. Selain itu, bagi menambahkan keceriaan di bulan Syawal, anak-anak yatim tersebut turut menerima sumbangan duit raya.
Para tetamu turut disajikan dengan pelbagai aktiviti dan hiburan, termasuk persembahan live band dan tarian Zapin. Selain itu, majlis tersebut juga menampilkan kiosk-kiosk makanan yang menawarkan pelbagai juadah Hari Raya serta sudut ‘snek zaman kanak-kanak’ yang menggamit nostalgia dan kenangan masa lalu.
“Kami berbesar hati menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri kerana ia dapat menyatukan pelbagai pihak selain memberi peluang untuk menzahirkan penghargaan kami kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka terhadap AIA PUBLIC Takaful selama ini. Saya gembira melihat pasukan pengurusan, rakan bank, rakan sekerja, tenaga agensi dan rakan media berkumpul pada hari ini yang dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Saya bersyukur kerana dapat berkongsi keceriaan majlis ini bersama mereka, terutamanya kanak-kanak dari rumah-rumah anak yatim,” tambah Elmie.
Dilancarkan pada tahun 2021, program Kongsi Rezeki memberi penekanan tinggi terhadap pengayaan komuniti dengan tumpuan untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi kanak-kanak kurang bernasib baik.
Empat rumah anak yatim yang hadir pada majlis hari ini adalah antara 15 benefisiari yang disenaraikan di bawah program Kongsi Rezeki. Melalui fasa program yang berlainan, rumah anak yatim tersebut telah menerima sumbangan komputer riba selain barangan keperluan seperti katil, tilam, perkakas elektrik serta bekalan harian lain bernilai hampir RM500,000 yang memanfaatkan lebih 800 kanak-kanak.
Program Kongsi Rezeki adalah sebahagian daripada kempen Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful, yang memperkukuhkan komitmen dan hasrat syarikat dalam menyokong komuniti merealisasikan harapan dan impian mereka untuk mencapai Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif komuniti atau kempen Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful, sila layari www.aia.com.my
–TAMAT–
Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.
AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan pessnyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.
Mengenai AIA Group
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $286 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2023.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 42 juta pemegang polisi individu dan lebih 18 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.