pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA PUBLIC Takaful Isytihar Agihan Lebihan Tertinggi Berjumlah RM70.7 Juta

10 September 2024 dot Bacaan 2 min

Kuala Lumpur, 10 September 2024 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) telah mengumumkan agihan lebihan sebanyak RM70.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 yang memanfaatkan lebih daripada 467,000 pemegang sijilnya. Lebihan daripada Dana Risiko Peserta ini telah mencatatkan peningkatan sebanyak 63% berbanding tahun sebelumnya dan merupakan jumlah lebihan tertinggi yang pernah diagihkan kepada pelanggan AIA PUBLIC Takaful sejak penubuhan syarikat tersebut lebih sedekad yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas, berkata: “Saya dengan sukacitanya mengumumkan satu lagi pencapaian penting bagi AIA PUBLIC Takaful dengan pengisytiharan lebihan tertinggi sejak agihan lebihan pertama kami pada tahun 2014. Pencapaian ini adalah bukti pengurusan kewangan kami yang kukuh, prestasi pelaburan yang cemerlang, dan keupayaan kami untuk berkembang dalam persekitaran pasaran yang mencabar dan serba dinamik.”

Jelas Elmie lagi, agihan lebihan ini mencerminkan nilai unik Takaful yang bukan hanya  memanfaatkan pelanggan yang membuat tuntutan malah pelanggan yang tidak membuat tuntutan juga dapat menerima bahagian lebihan mereka secara adil dan saksama. “Pelanggan yang tidak membuat tuntutan turut meraih faedah daripada lebihan ini disebabkan konsistensi mereka dalam membayar caruman takaful serta memastikan sijil mereka kekal aktif. Ini menunjukkan kepentingan nilai memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan pelanggan yang menyumbang kepada keselamatan kewangan yang lebih terjamin serta faedah yang dikongsi bersama-sama komuniti takaful kami.”

“Kami akan terus komited untuk menguruskan kewangan dan dana risiko kami dengan cekap berlandaskan pendekatan pelaburan AIA yang berhemat, pengurusan risiko yang teguh, dan tadbir urus yang baik agar pelanggan kami dapat terus menikmati faedah melalui pulangan kewangan ini,” tambah beliau.

Selaras dengan prinsip dan konsep takaful yang berlandaskan bantuan dan sokongan bersama, pelanggan yang menyertai pelan terpilih AIA PUBLIC Takaful juga diberikan pilihan untuk mendermakan lebihan yang layak kepada badan kebajikan. Bagi tahun kewangan berakhir 2023, lebih daripada 10,000 pelanggan telah memilih untuk menyumbangkan lebihan mereka yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.2 juta kepada Tabung Amal Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful.

“Saya berbesar hati melihat para pelanggan bermurah hati mendermakan lebihan mereka untuk membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti. Sumbangan mereka kepada Tabung Amal Penyala Harapan akan memberi impak berpanjangan dan memperkukuh usaha-usaha amal ke arah menyokong kehidupan golongan yang memerlukan di seluruh negara. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan kami kerana mempercayai AIA PUBLIC Takaful sebagai rakan takaful pilihan mereka, dan berharap untuk meneruskan usaha kami dalam menawarkan penyelesaian serta perkhidmatan patuh syariah yang memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” tambah Elmie.

Lebihan takaful adalah ciri unik yang ditentukan dan diisytiharkan oleh pengendali takaful, sekiranya ada, yang terhasil daripada Dana Risiko Peserta setelah ditolak semua tuntutan yang perlu dibayar, rizab berkanun, dan keperluan modal solvensi. Jumlah lebihan yang diagihkan secara tahunan, akan dikongsi secara saksama dalam kalangan peserta yang layak berdasarkan caruman, jumlah perlindungan dan tempoh sijil mereka, dengan syarat sijil tersebut kekal berkuat kuasa dan tiada tuntutan dibuat sepanjang tahun kewangan berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian patuh syariah atau inisiatif komuniti AIA PUBLIC Takaful, layari www.aia.com.my

–TAMAT–


Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.

AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan pessnyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.

Mengenai AIA Group

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $289 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2024.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 42 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.