Pemenang menerima hadiah berjumlah AS$100,000 untuk idea inovatif mereka dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan ceria.
Kuala Lumpur, 19 Jun 2024 - AIA Malaysia hari ini mengumumkan pemenang Pertandingan AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA), mengiktiraf sekolah-sekolah yang menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar dan mengutamakan kesejahteraan pelajar. Sebanyak 18 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah diiktiraf pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools yang julung kalinya dianjurkan oleh syarikat insurans itu atas usaha luar biasa mereka dalam menghasilkan dan melaksanakan idea-idea inovatif untuk menjadikan sekolah sebagai tempat pembelajaran yang lebih sihat dan ceria.
Pertandingan yang merupakan sebahagian daripada program AIA Healthiest Schools (AHS) itu berlangsung dari Oktober 2023 sehingga Mac 2024 dan menerima penyertaan daripada sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa di seluruh negara. Pemenang telah dipilih oleh panel juri AHS berdasarkan skala projek, pelaksanaan dan tahap keterlibatan bersama guru, pelajar dan komuniti, impak projek serta rancangan masa depan.
Sekolah-sekolah tersebut menerima hadiah secara keseluruhannya bernilai AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi anugerah pemenang dan anugerah kepujian untuk kategori sekolah rendah dan menengah.
SK Putrajaya Presint 11(1) muncul sebagai pemenang bagi kategori sekolah rendah menerusi inisiatif aplikasi mudah alih kesihatan HELPIE yang inovatif. Aplikasi yang direka untuk meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar, menyediakan ciri untuk mengenal pasti dan mengurus tekanan, yang turut disertakan dengan permainan dan kempen kesihatan yang menarik. Hasil projek itu cukup mengagumkan dengan lebih 500 pelajar mengalami penurunan tahap tekanan daripada 34% kepada 18%, manakala 92% melaporkan pemahaman emosi yang lebih baik.
Pemenang Kategori Sekolah Rendah
Tempat Pertama (AS$ 13,000 / RM 60,600) : SK Putrajaya Presint 11(1) (Putrajaya)
Tempat Kedua (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SJK(C) Hwa Lien (Selangor)
Tempat Ketiga (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SK Kanchong Darat (Selangor)
Tempat Keempat (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SK Oran (Perlis)
Kepujian (AS$ 2,000 / RM 9,300 setiap penerima)
- Sayfol International School (Kuala Lumpur)
- SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi (Selangor)
- SK Kuala Perlis (Perlis)
- SK Seri Gemilang (Penang)
- SJK(C) New Kopisan (Perak)
Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah, SMK Convent Butterworth meraih tempat pertama menerusi projek Eco-Jump Rope dan Dumbbell, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini menggunakan peralatan senaman yang dihasilkan daripada bahan kitar semula, yang menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri dengan aktiviti kecergasan berkonsepkan mesra alam. Projek ini memupuk kecergasan dan kelestarian, menggalakkan kreativiti, kerja berpasukan, dan gaya hidup yang lebih hijau dalam kalangan pelajar.
Pemenang Kategori Sekolah Menengah
Tempat Pertama (AS$ 13,000 / RM 60,600) : SMK Convent Butterworth (Penang)
Tempat Kedua (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SMK Taman Maluri (Kuala Lumpur)
Tempat Ketiga (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SMK Dato' Jaafar Hassan (Perlis)
Tempat Keempat (AS$ 9,000 / RM 42,000) : SMK Sri Perak (Perak)
Kepujian (AS$ 2,000 / RM 9,300 setiap penerima)
- SMK Lembah Subang (Selangor)
- SMK Jalan Tiga (Selangor)
- SMK Saujana Utama (Selangor)
- SMK Kampung Baru Kerteh (Terengganu)
- Kolej Tuanku Ja'afar (Negeri Sembilan)
Berucap di majlis anugerah itu, Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia berkata, “Di AIA, matlamat kami adalah untuk memperkasa, mendidik, dan memberi inspirasi kepada individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna. Program AIA Healthiest Schools adalah lanjutan daripada matlamat ini dan majlis pada hari ini menandakan peristiwa penting dalam perjalanan kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak kita.
“Kami berbesar hati kerana dapat meraikan usaha luar biasa anak-anak dan para pendidik kita yang telah melakukan perubahan ketara dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan di sekolah. Dari aplikasi kesihatan mental yang inovatif hingga projek kecergasan mesra alam, penyertaan yang diterima pada tahun ini sememangnya memberi inspirasi. Inisiatif kreatif seperti ini telah memberi impak yang ketara, bukan sahaja dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan kecergasan, tetapi juga dalam memupuk semangat komuniti dan tujuan yang sama dalam kalangan pelajar,” kongsi Ben.
Pemenang sekolah rendah dan menengah – SK Putrajaya Presint 11(1) dan SMK Convent Butterworth akan mewakili Malaysia pada majlis anugerah serantau AIA Healthiest Schools yang bakal berlangsung pada Julai ini di Bali, Indonesia. Kedua-dua sekolah akan bersaing dengan sekolah-sekolah yang memenangi anugerah sama dari lima pasaran AIA di rantau ini termasuk Indonesia, Thailand, Hong Kong, Australia, dan Vietnam yang mana satu pemenang (sekolah) akan menerima AS$100,000.
“Kami berterima kasih atas sokongan Kementerian Pendidikan, rakan pendidikan kami, LeapEd, juri profesional, sekolah-sekolah dan warga pendidik yang telah meletakkan kepercayaan terhadap program ini. Penyertaan aktif semua pihak yang terlibat telah mendorong kepada kejayaan program ini dan berharap dapat meneruskan usaha kami untuk mewujudkan lebih banyak sekolah yang sihat pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.
Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools direka untuk menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar berusia 5 hingga 16 tahun dengan menggalakkan pemakanan sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental, serta kesihatan dan kelestarian di sekolah. Program ini menyediakan sumber yang boleh dimuat turun secara percuma yang boleh digunakan oleh para guru untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan di dalam bilik darjah.
Sekolah yang berminat untuk mendaftar program AIA Healthiest Schools dan mendapatkan akses kepada sumber pengajaran, sila layari https://ahs.aia.com/my/en. Pihak sekolah dipelawa untuk menghantar penyertaan bagi edisi kedua Pertandingan AIA Healthiest Schools mulai Ogos 2024.
–TAMAT–
Mengenai AIA Malaysia
AIA Malaysia adalah sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 75 tahun.
Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.
Menerusi rangkaian pusat khidmat pelanggan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,400 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 5 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Mengenai AIA Group
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $286 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2023.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 42 juta pemegang polisi individu dan lebih 18 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.