Sekolah di seluruh Malaysia dipelawa mempromosikan kesejahteraan dan tabiat sihat dalam kalangan pelajar serta bertanding untuk memenangi AS$100,000.
AIA Malaysia baru-baru ini menganjurkan bengkel program AIA Healthiest Schools dengan guru-guru dari sekolah sekitar Lembah Klang dan Perlis. Bengkel interaktif yang dikendalikan oleh rakan pendidikan AIA Malaysia – LeapEd, mendedahkan guru-guru dengan pendekatan yang boleh diambil tindakan dan berkesan untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih sihat.
Kuala Lumpur, 21 November 2024 – Program AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) kembali untuk tahun kedua, mengalu-alukan penyertaan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif unik yang memberi tumpuan kepada pemupukan kesejahteraan dan kesihatan dalam kalangan komuniti sekolah.
Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools (AHS) direka untuk menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar berusia lima hingga 16 tahun. Program yang terbuka kepada semua sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa diperingkat rendah dan menengah, menyediakan bahan pengajaran yang boleh dimuat turun secara percuma (tersedia dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin) bagi memperkasa tenaga pengajar untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan kepada para pelajar.
Bagi menggalakkan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk berkongsi impak serta pencapaian mereka dalam meningkatkan tahap kesihatan pelajar, program AHS juga menampilkan pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai sehingga AS$100,000.
Pada tahun pertama program AHS, lebih 35 penyertaan diterima dari sekolah-sekolah di Malaysia, yang mana 18 sekolah telah diberi penghormatan atas usaha luar biasa mereka dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui projek-projek inovatif dan berkesan. SK Putrajaya Presint 11(1) dan SMK Convent Butterworth masing-masing muncul sebagai pemenang bagi kategori sekolah rendah dan menengah.
SK Putrajaya Presint 11(1) juga telah mengharumkan nama negara apabila merangkul gelaran juara keseluruhan Pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat serantau – mengalahkan sekolah-sekolah dari lima pasaran AIA yang lain dan telah menerima AS$100,000. Projek mereka menampilkan aplikasi mudah alih kesihatan 'HELPIE' yang membantu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental melalui alatan, permainan dan kempen interaktif disamping memperkasakan pelajar untuk memahami dan menguruskan tekanan.
Bagi membantu tenaga pengajar menyepadukan dan menyesuaikan program AHS dengan lancar ke dalam rancangan pengajaran sedia ada, rakan pendidikan AIA Malaysia – LeapEd mengendalikan bengkel praktikal sebagai sokongan tambahan. Merangkumi topik amalan kesedaran ke dalam rutin harian kepada memupuk tabiat pemakanan yang sihat, bengkel-bengkel interaktif ini menawarkan langkah yang boleh diambil dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih sihat. Hasilnya, guru dilengkapi teknik praktikal dan mudah dilaksanakan serta mempelajari strategi untuk memupuk daya tahan dan menggalakkan kesihatan mental yang positif dalam kalangan pelajar.
Siri bengkel AHS tahun ini dianjurkan di Lembah Klang dan Perlis. Fasa pertama bengkel yang berlangsung pada bulan Oktober direka untuk membantu tenaga pengajar meneroka bahan pengajaran percuma termasuk rancangan pengajaran berstruktur, aktiviti menarik, permainan interaktif dan filem pendek. Fasa kedua yang dijadualkan pada bulan Disember akan membimbing dan mempersiapkan guru dan tenaga pengajar untuk menghasilkan penyertaan yang menarik untuk pertandingan AHS.
Program AHS dilancarkan oleh AIA Group pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat insurans berkenaan dengan tujuan membawa impak positif dalam meningkatkan kesihatan kanak-kanak di seluruh rantau Asia. Edisi pertama program AHS diperkenalkan di empat daripada 18 pasaran AIA iaitu Australia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam dan kemudiannya telah dilancarkan di Malaysia dan Indonesia bagi edisi kedua pada tahun 2023.
Sekolah rendah dan menengah yang berminat boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut tentang program AHS di https://ahs.aia.com/my/ms/ di mana bahan pengajaran juga boleh dimuat turun secara percuma. Penyertaan untuk pertandingan AHS dibuka sehingga 8 Mac 2025.
–Tamat–
Mengenai AIA Malaysia
AIA Malaysia adalah sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 75 tahun.
Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.
Menerusi rangkaian pusat khidmat pelanggan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,400 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 17,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 5.2 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.
Mengenai AIA Group
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $289 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2024.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 42 juta pemegang polisi individu dan 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” bagi kaunter HKD dan “81299” bagi kaunter RMB dengan Resit Depositari Amerika (Tahap 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter di bawah simbol ticker “AAGIY”.