pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA PUBLIC Takaful Sokong Kesejahteraan Fizikal dan Mental Kanak-kanak – Anjur Aktiviti Lawatan Sambil Belajar Bersama Anak Yatim

3 Ogos 2023 dot Bacaan 2 min

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2023 – Seramai 100 orang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman, Setapak, Pusat Kebajikan Amal Rukaiyah, Kajang dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Seremban telah menyertai aktiviti lawatan sambil belajar anjuran AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful), baru-baru ini.

Diiringi 20 orang sukarelawan daripada AIA PUBLIC Takaful, anak-anak yatim yang berusia antara 7 hingga 17 tahun itu diraikan dengan aktiviti riadah dan pembelajaran yang santai sebagai sebahagian daripada program Kongsi Rezeki, sebuah inisiatif komuniti AIA PUBLIC Takaful yang dilancarkan pada 2021 dengan kerjasama Malaysian Relief Agency.

Sesi lawatan sambil belajar itu dimulakan dengan lawatan ke Aquaria, KLCC, di mana anak-anak yatim dapat mengenali dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang hidupan laut dan darat. Selain itu, mereka turut dibawa ke Menara AIA untuk menonton tayangan filem disamping menikmati hidangan tengah hari serta kudap-kudapan yang lain.

Mengulas tentang lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas menjelaskan bahawa program Kongsi Rezeki telah diperkenalkan dengan tumpuan terhadap kesejahteraan dan pengayaan komuniti, terutamanya kesejahteraan fizikal dan mental kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Ia sememangnya suatu yang amat menggembirakan apabila dapat melihat kanak-kanak ini bergembira dan bersemangat menyertai setiap aktiviti yang dijalankan oleh sukarelawan kami yang berdedikasi. Kami yakin bahawa sesi lawatan sambil belajar seperti ini bukan sahaja dapat menceriakan hari mereka malah turut memberikan pengalaman yang bermakna kepada zaman kanak-kanak mereka. Kami berbesar hati kerana dapat memberi kanak-kanak ini peluang dan pengalaman yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental serta kemahiran sosial mereka disamping memupuk kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi dan alam sekitar,” kata Elmie.

Ketiga-tiga rumah anak yatim yang terlibat adalah antara 10 penerima manfaat di bawah program Kongsi Rezeki. Melalui fasa program yang berbeza, rumah anak-anak yatim ini turut menerima sumbangan lain seperti komputer riba baharu, kelengkapan tempat tinggal seperti katil dan tilam serta barangan keperluan harian yang bernilai RM420,000.

Program Kongsi Rezeki adalah sebahagian daripada kempen Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful, yang memperkukuhkan komitmen dan hasrat syarikat dalam menyokong komuniti merealisasikan harapan dan impian mereka untuk mencapai Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif komuniti dan kempen Penyala Harapan AIA PUBLIC Takaful, sila layari www.aia.com.my.

–TAMAT–


Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.

AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Selain itu, AIA juga mempunyai pegangan saham 24.99 peratus dalam China Post Life Insurance Co., Ltd.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $303 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2022.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 41 juta pemegang polisi individu dan lebih 17 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).