pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Malaysia Komited Galakkan Kecergasan Keluarga Sebagai Usaha Tangani Penyakit Kronik di Malaysia

16 Mac 2023 dot Bacaan 3 min

2,300 pengunjung meriahkan Karnival Jom! Live with Vitality

Pengunjung Karnival Jom! Live With Vitality memulakan hari mereka dengan sesi Zumba yang penuh bertenaga

Kuala Lumpur, 16 Mac 2023 – Kira-kira 8.1 peratus populasi dewasa di Malaysia mempunyai semua faktor risiko menghidap penyakit kronik¹. Oleh yang sedemikian, amalan gaya hidup sihat oleh setiap keluarga adalah amat penting dan perlu diberi keutamaan. Bagi merealisasikan matlamat ini, AIA Malaysia telah menganjurkan Karnival Jom! Live with Vitality yang berjaya menarik lebih 2,300 pengunjung untuk menyertai aktiviti-aktiviti kesihatan dan kecergasan di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2023.

Tanpa mengira usia, pengunjung yang hadir dilihat gembira dan bersemangat menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuklah sesi Zumba oleh rakan AIA Vitality iaitu Fitness First, sesi senaman ekslusif oleh Duta AIA Malaysia, Datuk Nicol David, aktiviti mencari harta karun, cabutan bertuah, urutan leher dan bahu, dan banyak lagi.

Bagi memeriahkan lagi karnival tersebut, AIA Malaysia turut bekerjasama dengan Hospital Pantai Kuala Lumpur bagi menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang melibatkan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), ujian tekanan darah, tahap kolesterol dan glukos, di samping pemeriksaan postur badan yang dikendalikan oleh Fitness First. Tatkala golongan dewasa menjalani pemeriksaan kesihatan, pengunjung cilik juga berseronok menyertai pelbagai aktiviti sukaneka khusus buat kanak-kanak.

“Kami sangat teruja dapat menganjurkan karnival pada skala yang lebih besar tahun ini selepas menerima sambutan yang sangat menggalakkan bagi acara Jom! Live with Vitality kami yang diadakan buat pertama kalinya pada Jun 2022 yang dihadiri 300 pengunjung. AIA komited menyokong rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan terbaik mereka melalui pelbagai aktiviti yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat, seterusnya membantu menangani penyakit kronik yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Heng Zee Wang, Ketua Pegawai Pemasaran, AIA Malaysia.

Pada tahun 2018, Taman Metropolitan Kepong menjadi “taman angkat” AIA Malaysia menerusi pelancaran Laman Cergas AIA Vitality yang pertama, hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi lebih aktif dan mengatasi gaya hidup sedentari. Taman tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada orang awam, dengan kehadiran sekitar 3,000 pengunjung sehari pada hari bekerja sehinggalah 18,000 pengunjung sehari pada hujung minggu.

“Seiring dengan matlamat kami untuk menggalakkan keluarga untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna, kami gembira melihat lebih ramai orang menggunakan Laman Cergas untuk bersenam dan beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh AIA pada Februari 2023, empat daripada lima orang berkunjung ke Laman Cergas AIA Vitality sekurang-kurangnya sekali seminggu atau lebih, dan 83 peratus pengunjung taman berkata mereka sukakan laman tersebut. Kami sangat terharu dengan maklum balas positif ini dan kini dalam proses membuat penambahbaikan di beberapa kawasan di taman tersebut dalam masa terdekat,” kata Zee Wang.

Para pengunjung mula memenuhi tapak karnival seawal jam 7 pagi dan bersemangat memulakan hari mereka dengan sesi senaman. Salah seorang pengunjung, Izzie, 32, berkata beliau mengetahui tentang penganjuran karnival ini daripada rakan-rakan dan teruja untuk menyertainya, “Saya lebih suka acara keramaian seperti ini yang membolehkan kami datang bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain menyertai aktiviti yang menyihatkan, ia juga boleh mengeratkan lagi hubungan dengan rakan-rakan melalui permainan menyeronokkan yang disertai bersama.”

“Karnival ini juga merupakan satu motivasi buat kami, memandangkan kami bukanlah dari kalangan yang bangun sebelum matahari terbit, tetapi hari ini kami bangun awal untuk pastikan kami dapat menyertai semua aktiviti yang menyeronokkan,” kata Izzie yang hadir bersama rakannya, Intan, 32 dan kedua-dua mereka adalah dari Setapak.

Manakala, seorang pelajar, Lim Hao Han, 15, berkongsi bahawa ibu bapanya telah mendaftar  untuk menyertai karnival tersebut sebagai salah satu cara untuk mereka sekeluarga beriadah dan mencuba sesuatu yang berbeza, tambahan pula ianya percuma, “Karnival ini memberi peluang kepada kami melakukan aktiviti luar dan menyertai pelbagai aktiviti sebagai sebuah keluarga,” kata Lim dari Damansara yang hadir bersama keluarganya.

Acara-acara Jom! Live with Vitality adalah sebahagian daripada komitmen AIA Malaysia bagi menyokong gerakan AIA One Billion untuk melibatkan, mendidik dan memberi inspirasi kepada satu billion orang di seluruh Asia agar menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna. Kempen ini juga mencerminkan komitmen berterusan syarikat insurans tersebut dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti di lokasi operasinya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kesihatan dan kesejahteraan yang dijalankan oleh AIA Malaysia, layari www.aia.com.my

 

¹ Rujukan: Survey: 1.7 Million Malaysians Risk Three Chronic Conditions , Code Blue, 29 Mei 2020

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun. 

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,500 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4.7 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $302 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2022.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 40 juta pemegang polisi individu dan lebih 17 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).