pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

Perlindungan Kesihatan Mental untuk Tenaga Kerja

16 Ogos 2022 dot Bacaan 7 min

AIA Malaysia lancar penyelesaian kesihatan mental yang pertama di pasaran untuk pekerja

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2022 – Prevalens masalah kesihatan mental terus mencatatkan peningkatan di mana ia boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan seseorang itu, terutamanya di tempat kerja. Kajian oleh Relate Malaysia mendapati bahawa pada 2018, seramai 4.57 juta orang dewasa yang bekerja mengalami masalah kesihatan mental dengan 29% daripada pekerja menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental mereka sangat rendah.[1] Pada 2019, tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia oleh AIA Vitality mendapati bahawa semakin ramai tenaga kerja di Malaysia tidak mendapat tidur secukupnya dan kerja secara berlebihan, dengan 51% daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan atau stres berkaitan kerja dan 53% mendapat tidur kurang daripada tujuh (7) jam sehari. 

Memahami keperluan untuk membantu organisasi menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja dengan lebih baik, AIA telah melancarkan Penyelesaian Kesihatan Mental yang pertama dalam pasaran dengan kerjasama ThoughtFull, sebuah platform kesihatan mental digital yang berpangkalan di Asia Tenggara. Pernyelesaian baharu ini membolehkan majikan memberikan penjagaan yang lebih baik dan sokongan hujung ke hujung untuk kesejahteraan mental pekerja mereka.

“Kami melihat semakin ramai tenaga kerja terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan mental, yang telah diburukkan lagi oleh pandemik. Ia bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi seseorang individu itu, tetapi ia turut menjejaskan produktiviti negara. Organisasi yang ingin memupuk persekitaran kerja yang sihat dan gembira untuk pekerja mereka dan pada masa sama terus mendahului persaingan mereka perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja,” kata Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat AIA Bhd., Tung Hsiao Ley.

Penyelesaian Kesihatan Mental baharu ini adalah sebahagian daripada WorkWell with AIA, suatu proposisi di bawah Penyelesaian Korporat Menyeluruh (Total Corporate Solutions) syarikat berkenaan. WorkWell With AIA menawarkan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan bagi membimbing organisasi yang ingin memupuk dan meningkatkan kesejahteraan pekerja mereka.

Penyelesaian Kesihatan Mental ini didatangkan dengan dua ciri unik iaitu:

1. Akses Digital kepada Kesejahteraan Mental

  • Akses eksklusif tanpa had kepada sesi bimbingan pendek harian secara seorang ke seorang bersama jurulatih kesihatan mental profesional
  • Kandungan pembelajaran panduan kendiri dan penjejak kesejahteraan
  • Program, webinar dan bengkel kesejahteraan mental
  • Talian Hotline Kesejahteraan 24/7 untuk intervensi krisis

2. Perlindungan untuk Manfaat Kesihatan Mental

  • Melindungi kos konsultasi, perubatan dan rawatan pekerja yang diberikan oleh Pakar Psikiatri dan/atau Pakar Perubatan disebabkan oleh keadaan kesihatan mental
  • Termasuk perlindungan untuk orang tanggungan pekerja
  • Menawarkan pilihan tanpa tunai atau bayaran balik

Perkhidmatan di bawah Kesejahteraan Mental disediakan menerusi kerjasama strategik AIA Malaysia dengan ThoughtFull. Pekerja yang dilindungi oleh Penyelesaian Kesihatan Mental ini akan diberikan akses eksklusif tanpa had kepada sesi bimbingan harian secara seorang ke seorang bersama jurulatih kesejahteraan mental yang bertauliah, menjejaki tahap stres, keresahan dan kemurungan mereka pada masa sebenar, membaca kandungan digital yang berasaskan sains dan menggunakan penjejak mood dan jurnal bimbingan pemikiran melalui aplikasi ThoughtFull.

Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab dan progresif, AIA Malaysia memimpin melalui teladan, dengan menggunakan perkhidmatan ThoughtFull sejak bermulanya pandemik pada 2020, bagi memberikan sokongan kesihatan mental kepada pekerjanya. Menerusi program kesejahteraan pekerja ThoughtFull, pekerja AIA melaporkan purata penurunan sebanyak 43% dari segi tahap kemurungan, keresahan dan stres. Selain daripada itu, pekerja yang mendapatkan perkhidmatan profesional kesihatan mental yang bertauliah menerusi aplikasi tersebut turut melaporkan perubahan positif dari segi pemikiran dan tingkah laku mereka.

“Adalah penting bagi kami untuk menyokong tenaga pekerjakami bagi meningkatkan lagi daya tahan mereka agar dapatmengharungi segala perubahan yang berlaku secara mengejut dan berlanjutan di tempat kerja dan dalam kehidupan peribadi mereka. Kami bekerjasama dengan ThoughtFull kerana pendekatan mereka yang tulen dan lancar terhadap kesejahteraan mental di tempat kerja dan kami telah melihat sendiri manfaatnyakepada pekerja kami. Ini telah mendorong kami untuk terus meneroka bagaimana kami boleh membawakan perkhidmatan ini kepada pelanggan korporat kami sendiri,” tambah Hsiao Ley.

Sebagai salah satu daripada penyedia insurans manfaat pekerja terbesar di negara ini, matlamat AIA ialah untuk menyediakan penyelesaian yang serba lancar bagi meningkatkan tahap kesejahteraan mental di syarikat-syarikat di seluruh Malaysia serta menghapuskan stigma dan mewujudkan ruang yang selamat di tempat kerja bagi menggalakkan perbincangan berkaitan kesihatan mental.

“Kami telah lama menyokong kepentingan kesihatan mental di tempat kerja dan kami percaya bahawa ia perlu diberikan keutamaan sama seperti tumpuan yang kita berikan terhadap kesihatan fizikal. Sebab itulah kami berasa sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan ThoughtFull bagi membawakan perkhidmatan kesihatan mental yang serba baharu dan inovatif ini kepada pelanggan korporat kami dan pekerja mereka, di bawah proposisi WorkWell with AIA kami.”

“Dengan pelancaran Penyelesaian Kesihatan Mental yang komprehensif ini, kami percaya bahawa kami telah berjaya menyediakan satu penyelesaian yang amat diperlukan oleh pasaran. Majikan kini boleh merasakan bahawa mereka disokong dalam usaha ke arah mengutamakan kesihatan mental pekerja mereka yang menawarkan akses kepada sokongan dan sumber yang akan membantu mereka mencapai kualiti hidup yang lebih baik dan menghasilkan tenaga kerja yang lebih gembira, sihat dan produktif,” ujar Hsiao Ley.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Penyelesaian Kesihatan Mental AIA, sila layari https://www.aia.com.my/ms/our-products/employee-benefits.html]

 

[1] The Business Costs of Workplace Mental Health, Relate Malaysia, 2020

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun. 

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,500 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4.7 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $302 bilion Dolar Amerika pada 30 Jun 2022.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 40 juta pemegang polisi individu dan lebih 17 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).