pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Cares Community Squad Hulur Bantuan Sepanjang Tahun kepada 1,000 Keluarga B40

5 Januari 2022 dot Bacaan 7 min
Heng Zee Wang (dua dari kiri), Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd. bersama Redzuan Hanafi (kiri), Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Batu Muda, Lye Kok Shiuh (dua dari kanan), Pengasas Bersama Pasar Grub dan Shashi Kumar (kanan), Naib Presiden Women of Will, menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk PPR Batu Muda di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, 5 Januari 2022 – Pada awal tahun 2021, AIA Malaysia telah melancarkan program komuniti AIA Cares Community Squad yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga-keluarga B40 bandar yang terkesan akibat pandemik.

Program komuniti sepanjang tahun ini adalah kerjasama antara AIA Malaysia dan rakan-rakan NGO syarikat berkenaan iaitu Women of Will (WOW) serta perusahaan sosial Pasar Grub, yang menyumbangkan barangan keperluan harian kepada keluarga-keluarga B40 di sekitar Lembah Klang.

Melalui inisiatif ini, AIA Cares Community Squad telah berjaya mengedar pelitup muka jenis kain dan makanan sihat seperti roti, pastri dan biskut yang dihasilkan oleh pihak WOW serta buah-buahan dan sayur-sayuran lebihan daripada Pasar Grub kepada 1,000 buah keluarga dari 16 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah memanfaatkan lebih daripada 5,000 isi rumah.

1,000 keluarga tersebut telah menerima sumbangan barangan keperluan sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2021 dengan edaran pertama dilakukan pada bulan Mac, dan seterusnya pada bulan September dan Disember.

Heng Zee Wang, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd. berkata: “Usaha kami untuk menyokong komuniti dan menggalakkan mereka untuk mengamalkan pemakanan sihat ketika pandemik ini direalisasikan melalui inisiatif AIA Cares Community Squad. Kami berharap agar sumbangan ini akan membolehkan para penerima dan ahli keluarga mereka mengutamakan keselamatan dan kesihatan, tanpa perlu bimbang tentang hidangan makanan seterusnya.

“Kami amat berbesar hati dapat menyokong usaha sosial rakan-rakan NGO kami, Women of Will dan Pasar Grub dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan termasuk wakil-wakil penduduk PPR kerana sudi meluangkan masa dan tenaga mereka membantu kami membuat perubahan dalam kehidupan rakyat Malaysia.”

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun. 

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $340 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2021.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 39 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).