pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

20 Wanita Berpeluang Beramah Mesra Bersama Datuk Nicol David dalam Klinik Skuasy Eksklusif #AIASquashTheStereotypes

26 Mac 2022 dot Bacaan 7 min

Kuala Lumpur, 26 Mac 2022 – Ia merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan buat 20 orang wanita yang meluangkan petang Sabtu mereka beramah mesra bersama legenda skuasy dan duta AIA Malaysia, Datuk Nicol David dalam suatu sesi klinik skuasy, eksklusif untuk wanita yang diadakan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, hari ini. Klinik skuasy tersebut adalah acara kemuncak bagi kempen media sosial #AIASquashTheStereotypes oleh AIA Malaysia yang berlangsung dari 8 – 20 Mac 2022, bersempena dengan Hari Wanita Sedunia tahun ini.

Kempen yang menampilkan legenda sukan negara ini bertujuan mengetengahkan bagaimana isu stereotaip jantina masih menjadi cabaran buat wanita di Malaysia, dan pada masa yang sama ingin memperkasa dan mendorong kaum wanita dari semua lapisan masyarakat untuk mengatasi masalah stereotaip tersebut agar dapat menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Kesemua 20 peserta yang berusia antara 21 dan 42 tahun berjaya menempah tempat dalam klinik skuasy yang buat pertama kalinya dikendalikan oleh Nicol sejak persaraan beliau, dengan berkongsi kisah inspirasi tentang bagaimana mereka mengatasi stereotaip jantina dalam kehidupan mereka. Klinik tersebut telah dijalankan dalam dua sesi berasingan (10 peserta dalam satu sesi) yang menyaksikan Nicol berkongsi tip dan teknik bermain skuasy, pengalaman beliau bergelar Juara Dunia sebanyak lapan kali dan bagaimana beliau menghadapi pelbagai cabaran stereotaip jantina sepanjang kerjaya beliau.

Mengulas lanjut tentang perasaan beliau yang sangat berbesar hati dapat menyertai sebuah kempen yang memberi inspirasi dan dilancarkan tepat pada masanya, Nicol berkata, “Sepanjang kerjaya profesional saya, ramai yang meragui kemampuan saya untuk berjaya sebagai seorang atlet wanita. Saya tidak pernah membiarkan kata-kata negatif mematahkan semangat saya untuk merealisasikan impian saya. Kerana itu juga saya berbangga dengan AIA dan pendirian mereka untuk membangkitkan semangat wanita untuk melepaskan diri dari stereotaip-stereotaip ini dan terus yakin dengan kebolehan diri supaya dapat menjadi sesiapa sahaja yang mereka inginkan. Saya gembira kerana dapat mengendalikan klinik seperti ini bersama AIA untuk berkongsi pengalaman saya dengan wanita-wanita yang hebat disamping dapat bersenam dan berseronok!”

Hari Wanita Sedunia tahun ini yang bertemakan “Gender Equality for a Sustainable Tomorrow - #BreakTheBias amat bertepatan dengan AIA sebagai sebuah organisasi yang komited dalam memupuk budaya kesaksamaan dan keterangkuman jantina. Ia juga mengukuhkan lagi strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) AIA yang menitikberatkan pewujudan persekitaran kerja yang menyokong dan kolaboratif buat tenaga kerjanya.

Menurut Heng Zee Wang, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, syarikat tersebut percaya bahawa pemupukan kesaksamaan jantina adalah penting dalam komitmen ESG syarikat. “Para wanita memberi sumbangan yang sangat signifikan dari segi ekonomi, sosial dan kebudayaan untuk manfaat semua, setiap hari. Sama seperti AIA Malaysia yang mana 68 peratus daripada tenaga kerja kami terdiri daripada wanita yang hebat dan berkebolehan. Menerusi kempen ini, kami bukan sahaja ingin meraikan pencapaian dan sumbangan wanita di negara ini, malah ingin mengetengahkan segala cabaran yang terpaksa mereka lalui sepanjang hidup.

Kami bangga kerana dapat bekerjasama dengan Nicol untuk memperjuangkan perubahan tingkah laku yang positif, mencapai kesaksamaan bersama dan membantu mengubah set minda komuniti. Tiada individu lain yang lebih baik untuk menyampaikan kisah tersebut selain daripada Nicol, yang telah berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi walaupun terpaksa menghadapi pelbagai stereotaip jantina. Harapan kami adalah semoga semangat positif dan pengalaman beliau dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk terus melangkah maju ke hadapan demi mencapai Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.”

Untuk menonton video kempen #AIASquashTheStereotypes yang menampilkan Datuk Nicol David, sila layari https://fb.watch/bCzkr6d5dA/.

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun. 

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $340 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2021.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 39 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).