Perlindungan baharu yang pertama di pasaran, eksklusif untuk pengguna Touch ‘n Go eWallet
Kuala Lumpur, 1 November 2021 – Touch ‘n Go Group melalui TNG Digital Sdn Bhd ("TNG Digital"), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet, dan AIA Malaysia ("AIA") memulakan jalinan kerjasama strategik dengan pelancaran produk kolaborasi pertama mereka hari ini iaitu WalletSafe, pada harga pengenalan RM1*.
“Ketika pandemik ini, peningkatan permintaan untuk transaksi tanpa tunai telah menyebabkan peningkatan penggunaan eWallet. Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia, transaksi e-dompet telah meningkat sebanyak 131% pada 2020 yang melibatkan 0.6 bilion transaksi, berbanding 0.3 bilion transaksi pada 2019. Selain itu, lebih banyak pedagang telah mendaftar untuk menerima e-pembayaran dengan pembayaran kod Tindak Balas Pantas (QR). Touch 'n Go eWallet sudah diterima di lebih daripada sejuta titik penerimaan pedagang DuitNow QR. Memandangkan terdapat kenaikan jumlah transaksi, salah satu isu utama yang sering dikhuatiri para pengguna adalah soal keselamatan. Ianya satu kebimbangan yang ingin ditangani oleh Touch 'n Go dan AIA Malaysia melalui pengenalan WalletSafe,” kata Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Touch 'n Go Group.
WalletSafe ialah pelan insurans selama 6 bulan yang melindungi pengguna Touch 'n Go eWallet sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau COVID-19 dan membayar sehingga sepuluh kali ganda baki amaun Touch ‘n Go eWallet (maksimum RM25,000) mereka. Ia juga menyediakan perlindungan tambahan untuk transaksi tidak sah yang dilakukan melalui akaun eWallet dan GO+ mereka, sehingga RM25,000. Kesemua perlindungan ini ditawarkan sebagai tambahan kepada manfaat Money-back Guarantee yang disediakan oleh Touch 'n Go eWallet untuk pengguna yang disahkan.
Melalui pengalaman yang lancar dan mudah, pengguna boleh membeli produk ini secara terus dari Touch ‘n Go eWallet mereka dan akan diinsuranskan dengan serta-merta. Urusan tuntutan juga lebih mudah dan pantas kerana keseluruhan proses dilakukan secara dalam talian.
“WalletSafe adalah produk pertama di pasaran yang mengikat perlindungan insurans dengan baki eWallet dan kami amat gembira dapat menawarkan penyelesaian baharu yang menarik ini dengan harga RM1 sahaja kepada pengguna eWallet kami. Melalui penggunaan teknologi dan inovasi secara efektif, bersama-sama dengan AIA Malaysia, kami dapat memberikan nilai yang lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat para pengguna. Tambahan pula, produk ini bukan hanya membolehkan para pengguna menikmati ketenangan fikiran, tetapi juga menggalakkan mereka untuk menabung melalui GO+ kerana mengetahui bahawa mereka mendapat perlindungan yang lebih tinggi sebanyak RM25,000,” tambah Effendy.
Senada dengan komen Effendy, Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd. berkata: “Ketika ramai yang sedang mencari perlindungan serba lengkap untuk eWallet mereka, kami berbesar hati menawarkan produk mampu milik dengan nilai perlindungan yang tinggi kepada lebih 16 juta pengguna rakan kongsi kami yang dapat dinikmati secara eksklusif sebagai pelanggan Touch 'n Go eWallet. Produk yang kami lancarkan hari ini hanyalah permulaan kepada perjalanan jangka panjang dan menarik kami bersama Touch ‘n Go dalam menyediakan penyelesaian baru, inovatif dan diperibadikan untuk membantu pengguna mereka hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.”
Pada Julai 2021, TNG Digital dan AIA membentuk perkongsian strategik jangka panjang yang membolehkan AIA menawarkan penyelesaian insurans digital kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet, syarikat e-dompet terbesar di Malaysia. WalletSafe adalah produk pertama yang dilancarkan susulan pengumuman tersebut.
WalletSafe boleh dibeli bermula hari ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.touchngo.com.my.
*Tertakluk pada terma dan syarat
–TAMAT–
Mengenai Touch 'n Go Group
Kumpulan syarikat Touch ‘n Go adalah perusahaan teknologi kewangan berpandukan pengguna yang terkemuka di Malaysia dengan tumpuan utama dalam ekosistem pengangkutan dan infrastruktur pembayaran berasaskan platform di negara ini. Ia terdiri daripada penawaran perkhidmatan Touch ‘n Go Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik sepenuhnya CIMB Group dan TNG Digital Sdn Bhd (“TNGD”), sebuah usaha sama antara Touch ‘n Go dan Ant Group, syarikat induk Alipay, platform pembayaran digital terbesar di China. Kumpulan syarikat Touch ‘n Go berkhidmat untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kad, RFID dan penawaran eWallet untuk melaksanakan pelbagai transaksi harian.
Mengenai TNG Digital Sdn Bhd
TNG Digital Sdn Bhd (“TNGD”) telah diasaskan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd dan Ant Group (“Ant”), syarikat induk Alipay, platform pembayaran digital terbesar di China. Diasaskan pada tahun 2017, TNGD adalah pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, syarikat eWallet nombor satu di Malaysia dengan lebih 16 juta pengguna berdaftar. Menggabungkan jenama domestik Touch ‘n Go yang kukuh, dominasi dalam penggunaan tol, transit dan tempat meletak kereta dan pangkalah pengguna di seluruh negara, dengan kepakaran domain yang tinggi Ant dan sebagai peneraju pembangunan platform terbuka untuk perkhidmatan kewangan inklusif yang diterajui teknologi, Touch ‘n Go eWallet menyediakan perkhidmatan kewangan dan pembayaran kepada para pengguna runcit dan perniagaan kecil ke sederhana, merentasi infrastruktur fizikal dan dalam talian. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tngdigital.com.my.
Mengenai AIA Malaysia
AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun.
Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.
Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna
Mengenai AIA
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $326 bilion dolar Amerika pada 31 Disember 2020.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 38 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).