Kuala Lumpur, 13 April 2021 – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) mengumumkan pelantikan Mahani binti Amat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 6 April 2021. Beliau menggantikan Dato’ Thomas Mun Lung Lee yang bersara selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.
Mahani yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah AIA Bhd. sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sejak 2019, adalah wanita pertama yang menyandang jawatan Pengerusi bagi mana-mana entiti AIA di Malaysia.
Berpengalaman selama 27 tahun dalam industri perbankan, kerjayanya bermula dengan Bank Negara Malaysia pada tahun 1977 sebelum berpindah ke RHB Bank Singapura pada tahun 1984. Pada tahun 2001, beliau kembali berkhidmat dengan RHB Bank di Kuala Lumpur di mana beliau memegang jawatan pengurusan kanan sehinggalah jawatan terakhirnya sebagai Naib Presiden Eksekutif bahagian operasi dan perkhidmatan pada tahun 2004.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Elmie Aman Najas, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful berkata, "Mahani adalah seorang pemimpin perniagaan yang diiktiraf, dan kami sangat berbesar hati mengalu-alukan kehadirannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Beliau melangkah ke posisi ini bukan sekadar membawa pengetahuan dan pengalaman berpuluh tahun dalam sektor kewangan, tetapi juga pemahaman mendalam tentang operasi AIA menerusi peranannya sebagai pengarah bukan eksekutif bersama syarikat konvensional kami. Kami yakin dengan pelantikan beliau, ianya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat dan berterusan AIA PUBLIC Takaful, serta memajukan tujuan kolektif kami dalam membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.”
“Mewakili pihak pengurusan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Thomas atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangannya kepada syarikat selama ini. Kami juga berharap dan mendoakan yang segala yang terbaik untuk beliau di masa hadapan,” tambah Elmie.
Mahani memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, jurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya. Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di tiga buah syarikat tersenarai awam di Pasaran Utama Bursa Securities, iaitu Unisem (M) Bhd, Scicom (MSC) Bhd dan Leong Hup International Berhad. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah J.P. Morgan Chase Bank Berhad.
–TAMAT–
Mengenai AIA PUBLIC Takaful Bhd.
AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) dimiliki bersama oleh AIA Bhd. (AIA), Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB). Diperbadankan pada 11 Mac 2011, AIA PUBLIC Takaful memanfaatkan kedudukan kepimpinan AIA dan PBB Group serta rangkaian infrastruktur dan pengedaran yang mampan dalam industri insurans dan perbankan bagi memacu pertumbuhan dan meningkatkan kadar penetrasi Takaful Keluarga di pasaran domestik. AIA PUBLIC Takaful komited untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di setiap peringkat kehidupan.
Mengenai AIA
AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran di Asia Pasifik – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, New Zealand, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.
Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berdasarkan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $326 bilion dolar Amerika pada 31 Disember 2020.
AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 38 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.
Kumpulan AIA disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).