pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Malaysia dan Touch ‘n Go eWallet Bentuk Kerjasama Strategik Jangka Panjang

26 Julai 2021 dot Bacaan 7 min
AIA Malaysia jalin kerjasama strategik jangka panjang dengan TNG Digital bagi menyediakan penyelesaian insurans digital yang inovatif dan diperibadikan kepada pelanggan Touch ‘n Go eWallet, sejajar dengan matlamat AIA untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

Kuala Lumpur, 26 Julai 2021 - AIA Malaysia (“AIA”) dengan sukacitanya mengumumkan jalinan kerjasama strategik jangka panjang dengan TNG Digital Sdn. Bhd. (“TNG Digital”), pemilik Touch ‘n Go eWallet, syarikat eDompet terbesar di Malaysia.

AIA akan menyediakan penyelesaian insurans digital yang inovatif dan diperibadikan bagi memenuhi keperluan perlindungan lebih daripada 16 juta pelanggan Touch ‘n Go eWallet di seluruh negara sekaligus memperkukuhkan lagi komitmen syarikat insurans tersebut dalam inovasi digital dan pasaran Malaysia.

Menerusi teknologi insurans digital yang hebat dan efisien yang akan ditawarkan melalui jalinan kerjasama ini, AIA akan memberikan pengalaman yang mudah dan lancar kepada para pelanggan Touch ‘n Go eWallet untuk membeli, membuat tuntutan ataupun memperbaharui polisi.

AIA juga akan membuat pelaburan ekuiti minoriti dalam TNG Digital.

Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd., berkata: "Pengumuman hari ini menandakan kesinambungan transformasi digital AIA dan cita-cita kami untuk menjangkau segmen pelanggan baharu menggunakan platform dalam talian. Lebih penting lagi, pengumuman ini turut memperkukuhkan komitmen kami dalam memperkenalkan produk baharu dan inovatif untuk dipasarkan dalam dunia yang serba digital ini.”

“Keperluan insurans kian meningkat ketika berlakunya pandemik. Kita perlu sentiasa berusaha memperluaskan perkhidmatan di samping memberikan pilihan yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia. Ini akan membolehkan mereka mendapatkan perlindungan yang tepat, bersesuaian dengan peringkat kehidupan mereka, melalui cara yang mereka mahukan dan pada masa yang sesuai,” katanya.

Kerjasama dengan rakan digital yang terbaik di pasaran memberi peluang kepada AIA untuk menawarkan pelanggan Touch ‘n Go eWallet penyelesaian insurans yang boleh dibeli secara langsung dalam talian dan melalui saluran pengedaran AIA yang sedia ada termasuk pasukan agensinya seramai 19,000 orang yang berkelayakan memberi nasihat dan panduan mengenai perlindungan insurans dan takaful yang lebih komprehensif.

“Kami teruja dengan potensi yang ditawarkan menerusi kerjasama ini yang pada masa sama memberi peluang kepada kami untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan Touch ‘n Go eWallet dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” tambah Ben.

Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group berkata: "Kami amat gembira untuk mengumumkan kerjasama strategik jangka panjang bersama AIA. Mereka adalah sebuah syarikat yang membina nilai proposisi pelanggan dengan cara yang sama seperti kami dengan menggunakan teknologi dan inovasi secara efektif untuk memberikan nilai yang lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat para pengguna.”

“Insurans adalah tonggak utama buat kami untuk terus berkembang di dalam perkhidmatan kewangan. Kami berharap dapat bekerjasama dengan AIA untuk mengukuhkan lagi segmen ini dan memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik dan relevan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet," tambah Effendy.

“Kami juga mengalu-alukan penyertaan strategik AIA sebagai pemegang saham syarikat Touch ‘n Go eWallet. Penglibatan mereka bertepatan dengan evolusi berterusan kami untuk meneroka perkhidmatan kewangan dengan lebih mendalam.” katanya lagi.

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun.

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian  konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan  pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,000 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $326 bilion dolar Amerika pada 31 Disember 2020.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 38 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).

Mengenai Kumpulan Touch ‘n Go

Kumpulan syarikat Touch ‘n Go adalah perusahaan teknologi kewangan berpandukan pengguna yang terkemuka di Malaysia dengan tumpuan utama dalam ekosistem pengangkutan dan infrastruktur pembayaran berasaskan platform di negara ini. Ia terdiri daripada penawaran perkhidmatan Touch ‘n Go Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik sepenuhnya CIMB Group dan TNG Digital Sdn Bhd (“TNGD”), sebuah usaha sama antara Touch ‘n Go dan Ant Group, syarikat induk Alipay, platform pembayaran digital terbesar di China. Kumpulan syarikat Touch ‘n Go berkhidmat untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kad, RFID dan penawaran eWallet untuk melaksanakan pelbagai transaksi harian.

Mengenai TNG Digital Sdn Bhd

TNG Digital Sdn Bhd (“TNGD”) telah diasaskan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd dan Ant Group (“Ant”), syarikat induk Alipay, platform pembayaran digital terbesar di China. Diasaskan pada tahun 2017, TNGD adalah pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, syarikat eWallet nombor satu di Malaysia dengan lebih 16 juta pengguna berdaftar. Menggabungkan jenama domestik Touch ‘n Go yang kukuh, dominasi dalam penggunaan tol, transit dan tempat meletak kereta dan pangkalah pengguna di seluruh negara, dengan kepakaran domain yang tinggi Ant dan sebagai peneraju pembangunan platform terbuka untuk perkhidmatan kewangan inklusif yang diterajui teknologi, Touch ‘n Go eWallet menyediakan perkhidmatan kewangan dan pembayaran kepada para pengguna runcit dan perniagaan kecil ke sederhana, merentasi infrastruktur fizikal dan dalam talian. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tngdigital.com.my