pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Lantik Datuk Nicol David Sebagai Duta

07 Julai 2020 dot Bacaan 7 min

Kuala Lumpur, 7 Julai 2020 – AIA Malaysia berganding bahu bersama Datuk Nicol David, yang baru dilantik sebagai duta syarikat bagi meneruskan misinya untuk membantu rakyat Malaysia hidup Lebih Sihat, Berpanjangan, dan Bermakna. Nicol akan memainkan peranan aktif dalam mempromosikan usaha syarikat insurans terkemuka tersebut dalam memperkasakan rakyat Malaysia untuk mempertingkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka berdasarkan prinsip-prinsip utama AIA iaitu badan sihat, diet sihat, rohani sihat serta perancangan sihat.

Mengumumkan kerjasama itu hari ini, Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd. berkata: “Kami amat berbesar hati mengalu-alukan Nicol yang telah banyak memberi kesan positif terhadap dunia sukan global, ke dalam keluarga AIA. Kerjasama ini tepat pada masanya, di mana terdapat peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan Nicol, salah seorang ikon sukan tersohor dikalangan rakyat Malaysia di mana popularitinya merentas generasi – untuk mendorong dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjaga diri dan keluarga mereka sebaiknya.”

Datuk Nicol David berkata: “Kesihatan sentiasa menjadi keutamaan saya, sama ada dalam kerjaya profesional sebagai seorang atlet mahupun untuk keyakinan peribadi saya sebagai seorang individu. Disebabkan ini juga saya dapat merasakan keserasian dengan AIA dan saya berbesar hati menyokong inisiatif mereka agar rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna. Saya juga cukup teruja menjadi sebahagian daripada komuniti AIA Vitality – saling memberi motivasi untuk mencapai matlamat kesihatan masing-masing dan terus memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyertai program bermanfaat ini.”

Dengan kerjaya skuasy yang mengagumkan selama 19 tahun, Nicol adalah seorang wira sukan negara yang telah mewakili Malaysia di peringkat global, menjadikannya individu yang disegani dan mempunyai daya tarikan yang mampu mempengaruhi dan menyatukan rakyat Malaysia. Sepanjang tempoh kegemilangan kariernya, Nicol menguasai kedudukan global dengan merangkul Gelaran Dunia sebanyak lapan kali dan memegang kedudukan di tangga Nombor 1 Dunia selama 109 bulan berturut-turut. Nicol memenangi Gelaran Dunia pertamanya pada usia 15 tahun, menjadikannya atlet Malaysia pertama yang dinobatkan gelaran tersebut seawal usia itu. Selain itu, Nicol terpilih sebagai G.O.A.T (Greatest of All Time) oleh peminat sukan dan skuasy – suatu penghargaan yang dianugerahkan buat atlet yang telah merangkul sembilan Gelaran Asia.

Setelah mengumumkan persaraanya pada tahun 2019, kedudukan Nicol sebagai contoh teladan kepada segenap lapisan rakyat Malaysia tetap kukuh sehingga kini di mana beliau terus menyumbang kepada arena sukan dan pada masa yang sama, memperkasakan generasi muda untuk kekal cergas dan aktif. Sebagai ikon sukan yang terkenal, Nicol tidak asing lagi dari topik kesihatan dan kecergasan, malah perjalanannya dalam dunia sukan bertepatan dengan peranannya sebagai duta AIA dalam menggalakkan rakyat Malaysia meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka serta menjalani gaya hidup yang sihat.

Selain menjadi wajah kepada AIA Malaysia, Nicol juga akan memainkan peranan khusus dalam mempromosikan AIA Vitality, sebuah program perubahan tingkah laku unik AIA yang membolehkan individu mengawal kesihatan, kehidupan dan kesejahteraan mereka. Bersama-sama dengan AIA, Nicol akan membantu inisiatif ini untuk mendorong dan memotivasikan ahli AIA Vitality serta rakyat Malaysia dalam membuat pilihan yang positif dan sihat setiap hari – agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Nicol juga akan menyokong beberapa aktiviti komuniti dan perniagaan penting AIA dalam memaparkan dan menunjukkan manfaat yang dapat diperolehi dengan mengekalkan gaya hidup yang sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman dan inisiatif terbaru AIA, sila layari www.aia.com.my

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Bhd.

AIA Bhd., adalah sebuah syarikat insurans terkemuka di Malaysia, di mana kami mendapat penghormatan menjalankan perniagaan sejak 1948. Kami menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan termasuk Perlindungan, Kesihatan, Kemalangan Diri, Manfaat Pekerja, Insurans Am, Gadai Janji, Persaraan dan Takaful Keluarga untuk memenuhi keperluan dan jaminan kewangan pelanggan kami pada setiap peringkat kehidupan. Melalui rangkaian pengedaran yang pelbagai dengan kekuatan pasukan agensi seramai 14,000 Perancang Hayat, cawangan rakan kongsi bank yang eksklusif di seluruh negara serta pasukan jualan korporat dan broker, kami memberi para pelanggan pilihan dalam menentukan bagaimana, bila dan di mana mereka menghubungi kami.

Sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas, AIA Bhd. mempunyai kekukuhan kewangan, pengalaman, rangkaian pusat perkhidmatan serta pasukan terlatih terdiri daripada lebih 2,200 kakitangan yang memberi perkhidmatan kepada 3.9 juta pelanggan kami di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2019, jumlah aset AIA Bhd. bernilai RM55.3 bilion, dengan modal berbayar sebanyak RM810 juta.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran di Asia Pasifik – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, New Zealand, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai sedekad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia Pasifik (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $284 bilion dolar Amerika pada 31 Disember 2019.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia Pasifik, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 36 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkelompok.

Kumpulan AIA disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).