pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

Ben Ng Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd.

20 Ogos 2019 dot Bacaan 7 min

Kuala Lumpur, 20 Ogos 2019 – AIA Bhd. hari ini mengumumkan perlantikan Ben Ng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru syarikat berkenaan. Ben secara rasminya memegang jawatan tersebut pada 15 Ogos dan melapor kepada Tan Hak Leh, Ketua Eksekutif Serantau AIA Group.

Ben bertanggungjawab mengukuhkan kedudukan AIA dalam industri insurans hayat dan membantu syarikat mengoptimumkan pertumbuhannya di Malaysia. Ben akan memimpin pembangunan berterusan perniagaan insurans dan takaful AIA di negara ini – meningkatkan tahap profesionalisme pasukan agensi, mempertingkatkan perkongsian bancassurance, memperluaskan perniagaan penyelesaian korporat serta memperbaiki tahap penglibatan dan pengalaman pelanggan.

Tan Hak Leh berkata: "Kami berbangga mempunyai Ben mengetuai operasi kami di Malaysia. Dengan rekod kejayaan yang menjangkau lebih dari 24 tahun dalam industri insurans hayat, saya yakin Ben akan membantu memajukan perniagaan kami di sini ke tahap pertumbuhan dan kejayaan yang baru."

Mengulas mengenai pelantikannya, Ben berkata: "Sebagai anak Malaysia yang bekerja di luar negara selama lebih dari 20 tahun, saya gembira kerana berpeluang pulang ke tanah air dan memimpin pasukan dinamik kami di Malaysia. AIA Malaysia merupakan penyumbang penting kepada AIA Group dan saya berharap perniagaan kami akan terus membantu lebih ramai rakyat Malaysia Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna."

Ben menyertai AIA pada tahun 2011. Sebelum memegang jawatan terkini, Ben adalah Pengarah Presiden AIA Financial Indonesia, jawatan yang disandang sejak tahun 2014. Di bawah kepimpinannya, AIA Financial Indonesia telah menjadi syarikat insurans terunggul bagi saluran bancassurance dan juga menetapkan standard untuk tenaga agensi premier dengan 10 peratus daripada ejen-ejen mencapai status kelayakan Million Dollar Round Table (MDRT).

Sebelum menjadi Pengarah Presiden AIA Financial Indonesia, Ben merupakan Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan Penyelesaian Korporat AIA Group. Beliau juga adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan Serantau dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim AIA Taiwan. Ben memegang pelbagai jawatan penting sepanjang kerjayanya termasuk Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Pemasaran.

Ben adalah lulusan Universiti Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains, Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah Aktuari yang berkelayakan dan adalah Fellow Persatuan Aktuari (Fellow of the Society of Actuaries (FSA)) dan Fellow Persatuan Aktuari Kasualti (Fellow of the Casualty Actuarial Society (FCAS)).

 

–TAMAT–


Mengenai AIA Bhd.

AIA Bhd., adalah sebuah syarikat insurans terkemuka di Malaysia, di mana kami mendapat penghormatan menjalankan perniagaan sejak 1948. Kami menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan termasuk Perlindungan, Kesihatan, Kemalangan Diri, Manfaat Pekerja, Insurans Am, Gadai Janji, Persaraan dan Takaful Keluarga untuk memenuhi keperluan dan jaminan kewangan pelanggan kami pada setiap peringkat kehidupan. Melalui rangkaian pengedaran yang pelbagai dengan kekuatan pasukan agensi seramai 14,000 Perancang Hayat, cawangan rakan kongsi bank yang eksklusif di seluruh negara serta pasukan jualan korporat dan broker, kami memberi para pelanggan pilihan dalam menentukan bagaimana, bila dan di mana mereka menghubungi kami.

Sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas, AIA Bhd. mempunyai kekukuhan kewangan, pengalaman, rangkaian pusat perkhidmatan serta pasukan terlatih terdiri daripada lebih 2,000 kakitangan yang memberi perkhidmatan kepada 3.5 juta pelanggan kami di seluruh negara.  Sehingga 31 Disember 2018, jumlah aset AIA Bhd. bernilai RM51 bilion, dengan modal berbayar sebanyak RM1,451 juta.

Mengenai AIA

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran di Asia Pasifik – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Hong Kong, Thailand, Singapura, Malaysia, Tanah Besar China, Korea, Filipina, Australia, Indonesia, Taiwan, Vietnam, New Zealand, Macau, Brunei, Kemboja, 97 peratus pegangan anak syarikat di Sri Lanka dan 49 peratus pegangan usaha sama di India. Pada April 2019, AIA juga diberikan kelulusan sebagai pemohon pilihan untuk beroperasi di Myanmar menerusi pemilikan 100 peratus anak syarikatnya

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai sedekad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia Pasifik (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $230 bilion dolar Amerika pada 31 Disember 2018.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia Pasifik, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 33 juta pemegang polisi individu dan lebih 16 juta ahli skim insurans berkumpulan.

Kumpulan AIA disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod bursa “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).