pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

Tan Sri Dato’ (Dr) Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah AIA Bhd.

21 Jun 2023 dot  Bacaan 2 min

Kuala Lumpur, 21 Jun 2023 – AIA Bhd. mengumumkan pelantikan Tan Sri Dato’ (Dr) Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon (Tan Sri Gooi) sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 15 Jun 2023. Beliau menggantikan En. Ching Yew Chye @ Chng Yew Chye (En. Ching) yang bersara setelah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.

Tan Sri Gooi yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah AIA Bhd. sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sejak 5 Januari 2023, adalah Pengerusi Lembaga Pengarah AIA Bhd. yang ketiga.

Beliau mempunyai lebih 38 tahun pengalaman dalam bidang perakaunan dan kewangan korporat. Beliau juga memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan beberapa tindakan korporat termasuk penggabungan dan pengambilalihan serta penstrukturan semula hutang korporat oleh Syarikat Tersenarai Awam (PLC).

Tan Sri Gooi pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti Negara dan ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia. Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah EON Bank Bhd., Pengerusi Amity Bond Sdn. Bhd., Timbalan Pengerusi Avenue Capital Resources Bhd. dan sebelumnya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif – Urus Niaga, Avenue Securities Sdn. Bhd.

Mengulas tentang pelantikan tersebut, Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif, AIA Bhd. berkata, “Sukacita kami mengumumkan pelantikan Tan Sri Gooi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah baharu kami. Dengan rekod kepimpinan yang terbukti dan visi strategik yang dimiliki, beliau membawa banyak pengalaman dan kepakaran kepada syarikat. Pelantikan beliau amat bermakna dalam perjalanan kami untuk membantu lebih ramai orang untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.  Saya teruja untuk bekerjasama dengan Tan Sri Gooi dalam menavigasi persekitaran industri insurans yang dinamik ini serta memacu syarikat ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.”

“Mewakili pihak pengurusan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada En. Ching atas bimbingan dan sokongan berterusan beliau selama ini. Setelah menyertai Lembaga Pengarah pada kemuncak penggabungan AIA dan syarikat ING, En. Ching telah memantau secara strategik dan membimbing pasukan pengurusan ketika proses integrasi kedua-dua entiti berkenaan. Baru-baru ini, beliau telah memainkan peranan penting dalam pemisahan lesen komposit insurans am dan hayat AIA Malaysia dengan penubuhan AIA General Berhad, di mana beliau kekal sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya. Saya amat menghargai sumbangan besar beliau kepada syarikat dan berterima kasih atas masa yang diluangkan bersama kami,” tambah Ben.

Tan Sri Gooi merupakan Ahli Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti, Yinson Holdings Bhd, Red Ideas Holdings Berhad dan Perusahaan Sadur Timah Malaysia Berhad.

–TAMAT–


Mengenai AIA Bhd.

AIA Bhd., adalah sebuah syarikat insurans terkemuka di Malaysia, di mana kami mendapat penghormatan menjalankan perniagaan sejak 1948. Kami menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan termasuk Perlindungan, Kesihatan, Kemalangan Diri, Manfaat Pekerja, Insurans Am, Gadai Janji, Persaraan dan Takaful Keluarga untuk memenuhi keperluan dan jaminan kewangan pelanggan kami pada setiap peringkat kehidupan. Melalui rangkaian pengedaran yang pelbagai dengan kekuatan pasukan agensi seramai 20,500 Perancang Hayat, cawangan rakan kongsi bank yang eksklusif di seluruh negara serta pasukan jualan korporat dan broker, kami memberi para pelanggan pilihan dalam menentukan bagaimana, bila dan di mana mereka menghubungi kami.

Sebahagian daripada Kumpulan AIA, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas, AIA Bhd. mempunyai kekukuhan kewangan, pengalaman, rangkaian pusat perkhidmatan serta pasukan terlatih terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan yang memberi perkhidmatan kepada 4.7 juta pelanggan kami di seluruh negara. Sehingga 30 Jun 2022, jumlah aset AIA Bhd. bernilai RM58.98 bilion, dengan modal berbayar sebanyak RM810 juta.

Mengenai AIA Group

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $303 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2022.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 41 juta pemegang polisi individu dan lebih 17 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).