pageheroimage

Siaran Akhbar

SIARAN AKHBAR

AIA Malaysia Lancar AIA Healthiest Schools untuk Galak Tabiat Sihat dalam Kalangan Generasi Akan Datang

12 Oktober 2023 dot  Bacaan 2 min

Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools menggunakan pendidikan sebagai alat untuk memperkasa pelajar sekolah memupuk tabiat sihat

tcs-offer-5

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2023 – AIA Malaysia hari ini melancarkan program AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) yang bertujuan menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar berumur lima hingga 16 tahun melalui pemakanan yang sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental serta kesihatan dan kelestarian di sekolah.

Program AIA Healthiest Schools yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, akan menyediakan sumber dan bahan percuma yang boleh digunakan serta diintegrasikan dengan mudah oleh para guru dalam rancangan pengajaran sedia ada mereka. Bahan dan sumber ini berupaya untuk memberi nilai tambahan dalam usaha memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan yang lebih berkesan di dalam bilik darjah. Program ini terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari sektor kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2022 menunjukkan bahawa satu pertiga daripada remaja Malaysia yang berumur 13-17 tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes¹, yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit kronik yang secara lazimnya hanya dikaitkan dengan orang dewasa yang lebih berusia. Selain itu, turut diperakui bahawa kanak-kanak kecil mengalami masalah kesihatan mental, dengan anggaran 1 daripada 20 kanak-kanak Malaysia yang berumur lima hingga sembilan tahun didapati mengalami gangguan mental, termasuk gangguan perkembangan, seperti kebimbangan dan kemurungan².

“Tidak dapat dinafikan, salah satu isu yang paling membimbangkan di negara kita ialah keadaan kesihatan anak-anak kita. Kami percaya dengan nilai yang akan dibawa oleh program AIA Healthiest Schools kepada negara kerana ia merupakan satu pendekatan yang proaktif untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia melalui sumber dan bahan pendidikan yang boleh dipercayai dan mudah diakses,” kata Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia.

“Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna, ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menangani peningkatan kadar isu kesihatan kanak-kanak. Sebagai individu, ibu bapa, sekolah, syarikat korporat dan negara, kita bertanggungjawab untuk menyokong keupayaan anak-anak kita dalam menerapkan gaya hidup yang lebih sihat. Kesihatan adalah aset terpenting kita dan disebabkan itu, amat penting untuk kita memastikan bahawa generasi akan datang berpeluang menjalani kehidupan yang lebih sihat, ceria dan bermakna. Program AIA Healthiest Schools akan memperluaskan usaha advokasi dan tanggungjawab sosial kami dalam membantu kanak-kanak menjadi versi terbaik diri mereka. Kami berharap para guru dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam program ini,” tambahnya.

AIA Malaysia bekerjasama dengan LeapEd, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada transformasi sekolah dan pembelajaran berpusatkan pelajar, untuk melaksanakan program AIA Healthiest Schools di Malaysia. Program ini menyediakan bahan dan sumber yang boleh dimuat turun secara percuma dan tersedia dalam pelbagai bahasa (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin), termasuk filem pengenalan, aktiviti yang fleksibel, rancangan pengajaran dan permainan yang menyeronokkan. Bengkel interaktif untuk para guru juga akan diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Ipoh bagi membantu mereka mengintegrasikan program tersebut ke dalam bahan pengajaran sedia ada mereka.

Program AIA Healthiest Schools turut merangkumi pertandingan bagi menggalakkan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk berkongsi pencapaian dan kejayaan mereka dalam meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan pelajar. Pertandingan ini juga berperanan sebagai sebuah platform bagi sekolah-sekolah untuk membina komuniti yang berkongsi amalan terbaik (best practices) dan mencetuskan idea inovatif dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan. Hadiah berjumlah USD 100,000 akan dianugerahkan kepada sekolah yang menunjukkan usaha kesihatan dan kesejahteraan terbaik.

Program AIA Healthiest Schools telah dilancarkan oleh AIA Group pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan tujuan untuk membawa impak positif kepada peningkatan kesihatan kanak-kanak di seluruh rantau Asia. Edisi pertama program tersebut telah diadakan di empat daripada 18 pasaran AIA iaitu Australia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam.

Untuk maklumat lanjut mengenai program AIA Healthiest Schools dan bagaimana untuk mengakses sumber pengajaran yang boleh dimuat turun secara percuma, sila layari https://ahs.aia.com/my/ms/

¹ Rujukan: NHMS Survey: One-Third Of Malaysian Teens Are Overweight Or Obese, Code Blue, 1 Jun 2023

² Rujukan: Mental disorders among the young on the rise, The Star, 20 September 2022

– Tamat –


Mengenai AIA Malaysia

AIA Malaysia adalah sebahagian daripada AIA Group, kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Secara bersama, AIA Bhd., AIA PUBLIC Takaful Bhd., AIA General Berhad dan AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd. telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia selama lebih dari 72 tahun.

Sebagai salah satu penyedia insurans dan takaful terkemuka di negara ini, AIA Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian konvensional dan patuh syariah yang inovatif dan komprehensif, merangkumi Perlindungan Hayat dan Kesihatan, Takaful Keluarga, Manfaat Pekerja, Motor, Kemalangan Diri, Gadai Janji, Insurans Komersial dan skim Persaraan yang memenuhi keperluan kesihatan, kekayaan dan perlindungan pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

Menerusi rangkaian pusat perkhidmatan di seluruh negara, pasukan terlatih yang terdiri daripada lebih 2,600 kakitangan serta saluran pengedarannya yang pelbagai dan berdedikasi yang merangkumi pasukan agensi seramai 20,500 Perancang Hayat, rakan kongsi bank eksklusif, pasukan penjualan korporat dan broker, AIA Malaysia kekal komited untuk sentiasa bersama 4.7 juta pelanggannya; menyokong dan membantu mereka untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Megenai AIA Group

AIA Group Limited dan anak syarikatnya (keseluruhannya “AIA” atau “Kumpulan”) terdiri daripada kumpulan insurans hayat pan-Asia tersenarai awam terbesar dan bebas. Ia beroperasi di 18 pasaran – cawangan dan anak syarikat milik penuh di Tanah Besar China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura, Malaysia, Australia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan (China), Vietnam, Brunei, Macau SAR, dan 49 peratus pegangan usaha sama di India.

Perniagaan yang kini dikenali sebagai AIA telah ditubuhkan di Shanghai lebih seabad yang lalu pada tahun 1919. Ia merupakan peneraju pasaran di rantau Asia (tidak termasuk Jepun) berasaskan premium insurans hayat dan memegang kedudukan utama di sebahagian besar pasarannya. AIA mempunyai jumlah aset bernilai $303 bilion Dolar Amerika pada 31 Disember 2022.

AIA memenuhi keperluan simpanan dan perlindungan individu jangka panjang dengan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk insurans hayat, insurans kemalangan dan kesihatan serta pelan simpanan. Kumpulan ini juga menyediakan manfaat pekerja, kredit hayat dan perkhidmatan persaraan kepada pelanggan korporat. Melalui rangkaian agensi, rakan kongsi dan kakitangan yang meluas di seluruh Asia, AIA memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 41 juta pemegang polisi individu dan lebih 17 juta ahli skim insurans berkelompok.

AIA Group Limited disenaraikan di Papan Utama, Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham “1299” dengan Resit Depositari Amerika (Tingkat 1) yang diniagakan pada pasaran kaunter (simbol ticker: “AAGIY”).